Khamis, 17 Oktober 2019

'KL-P Pinang dalam sejam naik kereta terbang ada dibincang'

 
 

Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof berkata perbincangan awal pihak swasta dan usahawan berhubung projek kereta terbang antara lain bagi memastikan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang disingkatkan kepada sejam.

Redzuan berkata demikian di Dewan Rakyat ketika memaklumkan bahawa projek kereta terbang akan dapat dilancarkan pada penghujung tahun ini.

“Saya nak nyatakan di sini kalau kita pergi ke Pulau Pinang empat jam sekarang, mungkin pihak swasta dan usahawan sedang berbincang untuk membolehkan kita ke Pulau Pinang selama satu jam mengunakan kanderaan kereta terbang, bukan saya nyatakan benda itu akan terjadi, tetapi telah ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat dalam tahun 2020,” katanya

Redzuan berkata pihaknya dalam usaha untuk melancarkan projek ini secepat mungkin termasuklah memperkenalkan undang-undang melibatkan kereta terbang.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) dalam soalan tambahan meminta Redzuan menyatakan tarikh spesifik projek kereta terbang akan dilancarkan.

Tanpa menyebutkan tarikh spesifik, Redzuan berkata: “Saya sebut ini usaha berterusan selari dengan pergerakkan teknologi atau inovasi terkini seluruh dunia. Jadi apa sahaja bentuk usaha kita untuk pastikan industri ini bergerak lancar dan boleh dipercepat."

Redzuan turut mengulangi bahawa projek tersebut akan diterajui oleh sektor swasta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat tempatan.

“Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan dan kerajaan tidak akan menanggung sebarang kerugian sekiranya projek ini tidak berjalan seperti yang dirancang,” katanya.

Mac lalu, Redzuan dilaporkan berkata, kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu teknologi tempatan dan prototaipnya dijangka diperkenalkan tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Redzuan turut memaklumlan bahawa pihak kementeriannya telah mengenal pasti industri air mobility sebagai salah satu industri penting yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.


Tiada ulasan: