Selasa, 29 Oktober 2019

Dicabul depan hotel

Ryan Stanley
 


PEMANDU e-hailing ditahan selepas dipercayai mencabul seorang wanita di hadapan sebuah hotel di Putatan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

“Penahanan itu dibuat selepas mangsa berusia 23 tahun membuat laporan polis pada 10.05 malam.

“Siasatan mendapati, sebelum kejadian, mangsa menempah perkhidmatan e-hailing untuk pulang ke rumahnya di Putatan pada 4.48 petang.

“Dalam perjalanan ke rumah wanita itu, suspek mengambil jalan lain dan mengatakan mahu melihat kawasan sekitar Putatan kerana jarang ke situ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa dan mengikut kemahuan suspek tanpa membantah.

“Tidak lama selepas itu mangsa tidak menyangka suspek memberhentikan keretanya di hadapan sebuah hotel di Putatan lalu mengajak mangsa masuk ke dalam untuk berehat.

“Suspek dipercayai mencabul mangsa. Bagaimanapun, wanita itu berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis,” katanya.

Tambah beliau, suspek berjaya ditahan selepas menyerah diri dalam tempoh 24 jam selepas kejadian itu.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tiada ulasan: