Kabinet keluar amaran supaya MP kerajaan hadir Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR
– Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan peruntukan
berjumlah RM7 juta yang diberikan oleh kerajaan untuk kawasan Tanjung
Piai adalah bagi meraih sokongan pengundi kawasan itu.
Dr Mahathir menegaskan, kerajaan hanya
menjalankan tugas seperti biasa dan pemberian peruntukan itu secara
kebetulan hampir dengan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung
Piai.
“Semasa kita beri peruntukan ini secara kebetulan ada pilihan raya di situ,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.
Ditanya mengapa peruntukan itu tidak
diumumkan selepas PRK, Dr Mahathir berkata, memang kebiasaannya ada
perancangan untuk kawasan-kawasan tertentu.
“Kalau kita dah umum dan sedang ada
kempen, itu tidak baik kalau tawarkan apa-apa bantuan tetapi pada
kebiasaannya, memang ada rancangan tapi sebolehnya kita (kerajaan) tidak
gunakan rancangan ini sebagai umpan untuk menarik sokongan,” katanya.
Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Syed
Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk projek
naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, manakala
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub
turut memperuntukkan RM3 juta bagi projek naik taraf tiga jeti nelayan
dalam Parlimen Tanjung Piai.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata,
penasihat media dan komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin
bebas untuk mengkritik kerajaan.
“Boleh dia (A Kadir) nak hentam kerajaan,
kita bagi…orang kita dalam Parlimen pun dia hentam juga, kerajaan kalau
kita buat tak betul hentamlah,” katanya.
Dalam catatan di laman Facebooknya, A
Kadir berkata: “17 bulan sudah berlalu. Masa menasihat sudah tamat.
Sekarang hantam sajalah”.
Mengulas mengenai isu ketidakhadiran
ramai ahli parlimen kerajaan ketika persidangan Dewan Rakyat kali ini,
Dr Mahathir berkata, Kabinet telah mengeluarkan amaran supaya ahli
parlimen kerajaan menghadirinya.
Katanya, ada antara menteri Kabinet tidak
dapat hadir pada persidangan itu kerana berkemungkinan bertugas di luar
negara memandangkan terdapat banyak mesyuarat antarabangsa yang perlu
dihadiri pada masa ini.
“Bagi ahli biasa, mereka kadang-kadang
ada masalah lain, kadang-kadang mereka tiada dalam dewan tetapi ada
dalam bangunan ini (Parlimen), jadi mereka boleh dipanggil menerusi
bunyi loceng,” katanya.
Ditanya sama ada ia adalah masalah
disiplin dalam kalangan ahli parlimen kerajaan, Dr Mahathir berkata :
“Ini berlaku pada mana-mana kerajaan. Saya pergi sekali di kongres
Amerika (Syarikat) saya dapati orang tu cakap seorang je, cuma ada dua
orang lain dalam tu tetapi mereka tak bangkit soal korum, soal korum ni
bangkit kadang-kadang pasal politik”. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan