Khamis, 31 Oktober 2019

Misteri kelapa sawit, pencemaran dan Belanjawan 2020


ULASAN | Mari kita renungkan kembali. Kita telah melalui dua kejadian pencemaran di Pasir Gudang, diikuti beberapa pencemaran lain menyebabkan penutupan loji rawatan air, serta jerebu baru-baru ini.

Isu-isu yang berbeza ini mempunyai persamaan yang ketara. Apabila insiden tersebut berakhir, kita cenderung untuk melupakannya sehingga kejadian itu berulang lagi.

Tiada penyelesaian konkrit terhasil daripadanya, kecuali omong kosong daripada pihak berwajib.
Insiden jerebu saja berlaku selama lebih dari dua dekad. Belanjawan 2020 baru-baru ini
mengumumkan bahawa RM27 juta diperuntukkan untuk menguruskan kempen antiminyak kelapa sawit dan RM30 juta lagi kepada Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia untuk menangani masalah pencemaran.

Adakah kita akan mendapat nilai untuk wang yang dibelanjakan itu? Sebagai pembuka tirai, apa yang telah berlaku kepada "laporan penuh" mengenai pencemaran Sg Kim Kim dan Pasir Gudang?

Lihatlah bagaimana keadaan jerebu menjadikan Malaysia kalah. Ia akan bermula dengan penafian diikuti dengan kenyataan menyesali insiden tersebut.

Apabila tekanan mula memuncak di Malaysia, kita akan dapat jawapan bahawa masalah itu hanya beberapa bulan tetapi mereka (Indonesia) memberi udara bersih untuk bernafas untuk bulan-bulan seterusnya.

Sekiranya tekanan mulai meletus, Indonesia akan menamakan beberapa syarikat Malaysia yang diikuti sketsa 'wayang kulit' yang pendek. Akhirnya, kita diserang penyakit pelupa sehingga isu ini berulang kembali.

Tiada tindakan hingga kini

Ini adalah versi ringkas tentang bagaimana jerebu berlaku di Malaysia.

Tambahan lagi, bolehkah undang-undang jerebu rentas sempadan membantu? Sepatutnya, menteri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar harus melihat kepada gambaran makro, dan tidak mengikuti Singapura untuk membuat undang-undang mengenai jerebu rentas sempadan saja.

Malaysia harus menggubal undang-undang pencemaran rentas sempadan, dan jerebu adalah salah satu elemen yang boleh dimasukkan. Persetujuan undang-undang kerjasama antara negara jiran kita - Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina - harus mengikutinya.

Gunakan kerjasama sedemikian untuk terus mendapatkan Asean untuk mengguna pakai Perjanjian Kerjasama Pencemaran Rentas Sempadan yang meliputi semua jenis pencemaran.

Lihat saja keadaan di Pasir Gudang. Ia sangat mudah untuk menghubungkan titik-titik dan pautan ke syarikat-syarikat berpotensi di sebalik kejadian pencemaran. Tetapi, tiada tindakan diambil terhadapnya sehingga kini.
Apa yang akan kita lakukan jika bahan kimia berbahaya menyeberangi sempadan untuk mencemarkan - dan mungkin menyebabkan kematian di negara jiran - atau sebaliknya? Oleh itu, Asean perlu matang dan memberikan perlindungan lebih baik untuk rakyatnya berbanding dengan hanya mengejar jerebu sahaja.

Sebenarnya mudah untuk menangani jerebu. Inilah yang perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia:
1. Dapatkan senarai semua syarikat yang didapati bersalah oleh Indonesia sejak 1990-an.
2. Senaraikan semua pesalah, manakala pesalah berulang perlu disenaraikan dalam kategori khas untuk pengetahuan umum.

3. Kerajaan mesti mengeluarkan larangan ke atas produk yang berkaitan dengan syarikat tersebut (terutamanya pesalah berulang) dan ini adalah hukuman ekonomi yang lebih efektif. Anda perlu 'memukul' mereka di tempat paling menyakitkan melalui kaedah "namakan dan malukan".

4. Wujudkan tekanan yang sama di peringkat antarabangsa untuk mengharamkan syarikat-syarikat dan para pelabur mereka. Sekarang sudahpun wujud kumpulan untuk menguar-uarkan pesalah-pesalah terbabit secara percuma.

5. Mewujudkan model pencemaran tiga dimensi dan indeks pencemaran yang lebih baik untuk lokasi-lokasi yang mempunyai kepadatan tinggi seperti petempatan bertingkat. Satu analisis titik tunggal tidak mewakili penduduk yang tinggal di bangunan-bangunan tinggi. Ini untuk memastikan pemantauan pencemaran dan pengurusan kecemasan yang lebih baik.

6. Kerajaan juga harus menerbitkan laporan sumber tahunan yang terbazir untuk menguruskan jerebu. Kerugian ini mesti dikira dari tahun jerebu bermula yang ditambah dengan kadar deposit tetap lazim digunakan setiap tahun untuk mengumpul kerugian sehingga 2019. Ini termasuk anggaran perbelanjaan perubatan awam dan swasta, kakitangan kerajaan yang ditugaskan untuk mengendalikan keadaan jerebu, gangguan operasi orang awam dan sektor swasta disebabkan jerebu dan bidang berkaitan yang lain. Akhirnya, inilah beban hutang 'pesalah' kepada rakyat Malaysia.

7. Gunakan platform Asean untuk menuntut kerugian yang dialami oleh Malaysia selama ini.

Sebaliknya, kempen antiminyak kelapa sawit dapat dikendalikan secara profesional dan cepat.

Setelah Malaysia dan Asean mengeluarkan syarikat-syarikat yang bersalah, kedudukan industri kelapa sawit akan menjadi lebih kukuh.

Jika industri kelapa sawit telah dituduh secara salah, fakta perlu diperbetulkan dalam kes mahkamah dan gunakan semakan kehakiman atau proses-proses lain untuk membatalkan larangan Kesatuan Eropah (EU) mengenai penggunaan minyak kelapa sawit untuk biofuel.
Sekiranya EU dikalahkan, keputusan mahkamah ini akan menjadi iklan percuma di seluruh dunia dan industri kelapa sawit boleh membersihkan namanya secara bergaya!

Mengapa perlu menggunakan wang pembayar cukai? Di Malaysia kita menggunakan minak kelapa sawit untuk hampir semua aktiviti. Kenapa berkempen di sini?

Industri ini harus membiayai sebarang aktiviti untuk melindungi kepentingan mereka.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) tidak pernah menjangkakan perlindungan kebajikan alam sekitar dan orang ramai akan jatuh ke tahap yang sangat teruk.

Lebih menyakitkan hati lagi apabila melihat lebih banyak tumpuan diberikan kepada publisiti murahan.

Jadi, sebelum mana-mana peruntukan terbazir, bolehkah menteri-menteri yang menjaga kelapa sawit dan alam sekitar melaksanakan cadangan-cadangan yang diberikan sebelum penghujung 2019?

Jika kedua-dua anda gagal, sila lakukan perbuatan yang mulia dengan menarik diri dari portfolio masing-masing dan memberi laluan kepada mereka yang boleh menggenggam bara api sampai jadi arang.


PIARAPAKARAN S ialah presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer).

Tiada ulasan: