Sabtu, 26 Oktober 2019

Kerajaan siasat portal e-pay UM digodam


Eddin Syazlee Shith (kiri) membantu menolak troli V Logeswary 
(dua dari kanan) ketika membeli barangan pada Majlis Penyerahan 
Bantuan Deepavali di sebuah pasar raya di Kuala Pilah hari ini. 
(Gambar Bernama)
 
KUALA PILAH: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan menyiasat kes penggodaman sistem pembayaran atas talian, portal e-pay milik Universiti Malaya (UM) pada Khamis lalu.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, kementeriannya memandang serius kes itu dan akan bekerjasama dengan polis serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) untuk membuat penelitian lanjut.

“Saya telah menerima maklumat berhubung isu kebocoran maklumat data peribadi itu. Pada tahap ini, kita sedang menyelidik maklumat itu dan tentukan sejauh mana kebenaran dakwaan dan kesan kebocoran itu kepada pelajar.

“Ia perlu dilakukan secara berhati-hati kerana kalau kita tersilap menangani isu ini memang keadaan akan menjadi lebih berat dan tidak terkawal.

“Saya yakin dan percaya dengan kerjasama semua pihak, perkara ini dapat diselesaikan, di samping kita memikirkan cara terbaik untuk memastikan perkara sedemikian tidak berulang,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Deepavali hari ini.

Eddin berkata, masyarakat perlu dididik bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan terhadap kepentingan maklumat dan data peribadi, seterusnya memahami kesan serta akibat melanggar undang-undang itu.

“Saya percaya undang-undang yang ada di bawah JPDP cukup keras dan perkara ini perlu difahami masyarakat supaya jangan melakukan perbuatan menyebabkan kebocoran data peribadi terhadap mana-mana pihak sekali pun.”

Khamis lalu, satu akaun Twitter memuat naik gambar mendakwa laman web UM digodam dengan kapsyen “University of Malaya got hacked and data leaked” yang mendapat perhatian ramai.

UM dalam satu kenyataan pada Jumaat mengesahkan portal e-pay itu digodam dan sistem itu sedang menjalani proses ujian serta akan diaktifkan semula dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: