Khamis, 31 Oktober 2019

Kabinet setuju larang tanda ‘bebas minyak sawit’ pada produk

Saifuddin Nasution Ismai.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Kementerian Industri Utama mahu mengadakan suatu peraturan melarang tanda ‘bebas minyak sawit’, ‘tidak mengandungi minyak sawit’ atau seperti itu pada sebarang jenis produk.

Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan itu selaras hasrat kerajaan menyokong industri minyak sawit, dan ia sudah dibawa dan dipersetujui Kabinet pada 18 Okt lalu.

“Ia bagi memastikan tidak berlaku lagi penjualan produk-produk yang mempunyai penandaan seperti “bebas minyak kelapa sawit”, “tidak mengandungi minyak kelapa sawit”, “palm oil free”, “no palm oil” atau ungkapan, petunjuk terhadap minyak sawit,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Saifuddin berkata pemeriksaan KPDNHEP di 2,609 premis seluruh negara menemui 12 produk yang mempunyai tanda seperti itu.

“KPDNHEP sudah menasihatkan peniaga untuk tidak mempamerkan produk-produk tersebut untuk jualan,” katanya.

Beliau berkata kementerian akan meneliti secara teliti apakah peraturan yang akan ditetapkan secepat mungkin.

Menteri Industri Utama Teresa Kok pula berharap langkah yang akan diputuskan kelak akan dapat membendung perbuatan memburukkan reputasi minyak sawit Malaysia.

“Kita pengeluar kedua terbesar minyak sawit di dunia. Kalau ada sesuatu produk itu tidak ada penggunaan minyak sawit, tidak perlulah tulis ‘bebas minyak sawit’,” katanya.

“Produk yang kita dapati di pasaraya, seperti mentega kacang memang tidak ada minyak sawit…ini hanyalah satu gimik pemasaran yang cuba keruhkan lagi kritikan terhadap minyak sawit.”

Beliau berkata industri sawit sering dikaitkan sebagai penyumbang utama penyahhutanan dan kehilangan biodiversiti tetapi tanggapan dan dakwaan itu tidak benar, dan gambaran negatif terhadap produk berasaskan sawit “tidak disokong fakta saintifik tepat”.

Tiada ulasan: