Sabtu, 19 Oktober 2019

Syarat baru eksport plastik perlu sokongan negara asal


Kerajaan akan memperkenalkan syarat baru terhadap syarikat luar yang mahu mengeksport plastik ke negara ini menjelang tahun 2020.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata syarikat berkenaan perlu mendapatkan sokongan daripada negara asal mereka sebelum mengeksport plastik ke Malaysia.

"Insha-Allah pada 2020 di mana kita akan kenakan satu lagi syarat tambahan bahawa syarikat yang hendak mengeksport plastik ke Malaysia perlu dapatkan sokongan daripada negara asal.

“Syarat seperti ini agar mereka (syarikat) lebih bertanggungjawab," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Be Green & Pelaksanaan Program Water For Life di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Hulu Langat, hari ini.

Zuraida berkata syarat baru itu diperkenalkan selepas kementerian itu mengenakan pembekuan lesen import (AP) bagi sisa plastik kepada mana-mana syarikat sejak Julai tahun lalu, selain syarat lain di mana pemain industri berkenaan perlu membuat permohonan AP semula.

Tambah Zuraida lagi, syarat baru itu bagi memastikan syarikat luar tidak menyalahgunakan fasiliti import yang diberi kerajaan.

Jan tahun ini, Zuraida berkata terdapat 114 syarikat mempunyai AP sisa plastik, namun hanya 54 syarikat yang aktif dan daripada jumlah itu hanya lapan betul-betul mematuhi syarat ditetapkan.
Beliau pada masa itu berkata hanya 19 syarikat membuat permohonan dan KPKT akan meneliti sama ada syarikat berkenaan layak diberi AP sisa plastik.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis itu, Zuraida memaklumkan industri sisa plastik berjaya menjana pendapatan sehingga RM30 bilion.

Hadir sama pada majlis itu, Ir Dr Zaini Ujang, Lembaga Pengarah Yayasan Petronas, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemical, Sazali Salleh dan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran, Kementerian Belia dan Sukan, Ir Dr Azmi Ahmad.


Tiada ulasan: