Selasa, 22 Oktober 2019

Usah ganggu polis jika DAP tak nak dilihat lindung pengganas

Oleh Fazleen Safina

 

PDRM perlu laksana siasatan tanpa ada ketakutan, berat sebelah


BANGI – Jangan campur tangan urusan pihak keselamatan jika DAP – parti yang paling dominan dalam kerajaan Malaysia – tidak mahu dilihat sebagai pelindung penjenayah dan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LLTE).

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) juga perlu bersikap tegas dengan campur tangan pemimpin DAP, supaya kerajaan juga tidak terpalit dengan isu berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu juga penting bagi menjaga ketenteraman awam dan keselamatan rakyat di negara ini.

“Jadi ia adalah isu penting dan kalau kerajaan tak mahu dilihat sebagai pelindung kepada penjenayah, mereka sepatutnya tidak mengganggu sebarang siasatan daripada pihak polis ataupun mana-mana pihak berkuasa yang lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas campur tangan pimpinan tertinggi DAP seperti Lim Guan Eng, Charles Santiago, P Ramasamy dan M Kula Segaran yang menafikan serta mempersoalkan penahanan beberapa ahli politik parti berkenaan kerana disyaki terbabit LTTE.

Sebelum ini, polis menahan lima lagi individu termasuk seorang guru kerana disyaki terbabit dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE sejak Khamis lepas kepada 12 orang.

Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mengulas lanjut, Che Abdullah turut mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak bertolak ansur dengan perkara berkaitan pengganas.

Justeru, beliau mengharapkan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan siasatan yang menyeluruh tanpa dengan mengamalkan konsep ‘No Fear No Favour’ (tiada ketakutan dan tiada berat sebelah).

“Oleh itu, pihak PDRM juga harus diberi kuasa dan mandat sebenar untuk menyiasat, dan saya juga menyokong pihak polis untuk meneruskan siasatan ini,” katanya.

LTTE mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam, utara Sri Lanka apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat Tamil iaitu kumpulan minoriti.

Kumpulan pemberontak itu yang dilaporkan tidak aktif lagi selepas Prabhakaran terbunuh dalam operasi ketenteraan Kerajaan Sri Lanka, pernah disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan lebih 30 negara, termasuk Malaysia.


Tiada ulasan: