Sabtu, 26 Oktober 2019

Sistem Imigresen digodam lagi?


ULASAN | Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mendedahkan bahawa terdapat manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang melibatkan seramai 21,378 pekerja asing daripada 32,424 kuota yang diwujudkan secara tidak teratur dalam mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Sebanyak RM24 juta terlibat dalam transaksi ini yang sepatutnya disalurkan kepada Pusat Kelulusan Setempat (OSC), Bahagian Pengurusan Pekerja Asing (BPPA) Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebaliknya direkodkan di 10 Bahagian atau Jabatan Imigresen negeri yang tidak mempunyai kuasa.

“Pihak audit meneliti maklum balas daripada Jabatan Imigresen dan berdasarkan analisis terhadap data MyIMMs, berlaku manipulasi dan kemungkinan fraud (manipulasi) dalam sistem MyIMMs bagi kelulusan kuota pekerja asing yang memerlukan siasatan segera diambil,” kata laporan itu seperti yang diumum pada 15 Julai 2019.

Secara amnya, kesan daripada manipulasi itu, sebanyak 21,738 pekerja asing yang sah yang berkerja di Malaysia dibatalkan PLKS atau permit kerja. Sebanyak 123 majikan yang membayar levi bagi pihak pekerja asing terjejas susulan perkara ini.

Sementara itu, pada 30 Oktober 2018, Imigresen membuat kenyataan bahawa Bahagian Perisikan,Operasi Khas dan Analisa (Jabatan Imigresen) telah berjaya ditumpaskan dalam manipulasi atau fraud.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Imigresen membuat satu serbuan pada 29 Oktober, 7.30 malam di kawasan Masjid India berdasarkan maklumat dan intipan yang dilakukan selama tiga bulan.

Sindiket ini dipercayai menjalankan aktiviti salah guna sistem Jabatan Imigresen dan juga terlibat dengan aktiviti kuota palsu pekerja asing dan beroperasi hampir lapan tahun.

"Operandi sindiket ini adalah menawarkan khidmat kepada syarikat-syarikat yang memerlukan pekerja asing dengan memberikan jaminan bahawa setiap permohonan akan diluluskan," kata Jabatan Imigresen.

Majikan nafi tak bayar levi
 
Setiap pekerja yang belum memasuki Malaysia dikenakan bayaran RM7,000. Bagi yang sudah berada di Malaysia bayarannya adalah RM1,500.

Jabatan Imigresen menjelaskan bahawa apabila maklumat pekerja dimasukkan dalam sistem imigresen, maka sindiket ini akan mendapatkan pelekat PLKS melalui MyEG.

Susulan pendedahan Audit Negara, Jabatan Imigresen juga mengesahkan bahawa bakal membangunkan Sistem Imigresen Bersepadu yang lebih canggih bagi membendung sindiket digodam atau manipulasi.

Dalam satu laporan bertarikh pada 16 Julai 2019 memberitahu bahawa laporan penuh berkaitan sistem Imigresen digodam dihantar kepada ketua pengarahnya Indera Khairul Dzaimee pada 25 April 2019.

Tetapi, rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan dakwaan hampir 500 majikan memberitahu bahawa hampir 75,000 pekerja asing dibatalkan PLKS dan Visa Dengan Rujukan (VDR) oleh Imigresen.

Kali ini pekerja asing yang berkerja di Malaysia sejak tahun 2013 dibatalkan PLKS dan VDR selepas Imigresen menerima bayaran levi bagi tahun 2020.

Penulis mendapati bahawa PLKS pekerja-pekerja ini dibatalkan atas alasan majikan tidak membayar levi pada tahun 2013.

Namun, majikan mempunyai bukti bahawa membuat pembayaran sejak tahun 2013.

Jabatan Imigresen atau KDN sehingga kini masih tidak membuat sebarang kenyataan secara umum berhubung pembatalan PLKS 75,000 pekerja asing itu.

Apa status pembayaran RM24 juta?

Jadi, persoalannya bagaimana Imigresen memberikan PLKS setiap tahun sehingga 2019, kalau betul kami tidak bayar levi sejak 2013, bagaimana pekerja asing dapat memperbaharui PLKS sehingga 2019?

Kenapa hanya sekarang Imigresen batal PLKS selepas terima bayaran bagi tahun 2020?
Penulis juga mendapati bahawa pembatalan melibatkan 75,000 pekerja asing itu hampir serupa dengan kes melibatkan 21,738 pekerja asing.

Dalam kedua-dua kes majikan mendakwa sudah membayar levi di Imigresen. Tetapi tidak sampai ke KDN.

Bagaimana ini boleh berlaku? Adakah Imigresen sembunyikan sesuatu?

Dalam pada itu, penulis menerima satu dokumen yang menunjukkan bahawa satu laporan polis dibuat oleh seorang pegawai Bahagian Teknologi Maklumat dan Rekod (BTMR).

Salinan laporan polis itu mendapati bahawa laporan dibuat di IPD Putrajaya, terdapat tujuh lagi laporan polis dibuat berkaitan isu ini masing-masing dua di Kuantan, satu di Hi Tech, Kempas, Tg Kupang, Gelang Patah dan Seberang Jaya.
Laporan polis yang dibuat pada 19 Julai 2019 mengatakan bahawa siasatan awal BTMR terhadap data Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) disyaki terdapat ID pemilik disalah gunakan (unauthorised) berkaitan pembayaran levi RM24 juta melibatkan 21,738 pekerja asing

Bagaimanapun, laporan itu tidak menjelaskan apakah pembayaran melibatkan RM24 juta hilang atau berjaya dikesan semula.

Laporan polis yang dibuat oleh BTMR Jabatan Imigresen membangkitkan lebih banyak daripada jawapan.

Bagaimana boleh ID pemilik sistem imigresen boleh disalah guna?

Adakah pegawai-pegawai imigresen turut terlibat?
 
Mampukah sistem kerajaan boleh digodam begitu sahaja tanpa 'sokongan dalaman'?
Apakah status terkini pembayaran RM24 juta?
 
Kenapa BTMR lapor polis selepas laporan penuh diberikan kepada ketua pengarah?
Penulis harap Jabatan Imigresen atau KDN akan segera memberi jawapan kepada-kepada soalan-soalan ini kerana berjuta-juta wang dalam kes ini adalah milik rakyat bukan bagi kepentingan beberapa individu yang licik.
 

*B NANTHA KUMAR merupakan wartawan Malaysiakini.


Tiada ulasan: