Selasa, 29 Oktober 2019

Bukan soal ihsan, Adly adil jadi ketua menteri, kata DAP Melaka

DENYUT REFORMASI

 
 
MELAKA — DAP Melaka menolak tuduhan pembangkang yang mendakwa Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka yang lemah dan tidak dapat mengawal ahli exco kerajaan negeri.

Setiausaha DAP Melaka Damian Yeo Shen Li menegaskan bahawa DAP bukanlah ‘gila kuasa’, sekaligus menepis tuduhan ketua pembangkang negeri Datuk Seri Idris Haron yang mendakwa kedudukan Adly kini adalah atas ihsan DAP.

“Bagi kami di dalam DAP, Adly adalah seorang pemimpin yang adil, dan kini memandangkan kita berada dalam pentadbiran negeri, kita perlu mengambil peluang ini untuk membetulkan apa yang salah, sama ada berkaitan pentadbiran mahupun politik, penjagaan kesihatan ataupun perumahan, pelancongan atau bola sepak. Ia bukan soal “ihsan DAP”.

“Ia berkenaan memberikan yang terbaik daripada kita semua untuk Melaka, DAP bukan gila kuasa. Kami hanya membantu dengan apa yang termampu sahaja, sebagai anggota dalam Pakatan Harapan,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsapp di sini semalam.

Sebuah portal berita semalam menerbitkan kenyataan Idris yang antara lain menyebut Adly seorang yang lemah, dan tidak dapat mengawal exco, kerana partinya hanya menduduki dua kerusi Dewan Undangan Negeri Dalam Negeri, berbanding DAP lapan.

Kelmarin, sebuah portal berita melaporkan ada cadangan untuk menggantikan kepimpinan Adly dengan pembentukan kerajaan negeri menerusi ‘pintu belakang’ namun ia dinafikan oleh 14 Ahli Dewan Undangan Negeri yang teguh berdiri di belakang Adly.

Yeo berkata walaupun DAP mempunyai lapan ADUN, Melaka secara keseluruhannya mempunyai lebih daripada 300 anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), tetapi hanya 10 peratus daripada mereka adalah ahli DAP.

Katanya melihat kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), anggota DAP hanya menerajui syarikat-syarikat yang dibebani hutang seperti Perbadanan Stadium Melaka, Perbadanan Bioteknologi Melaka dan Putra Hospital.

“ dan kami berjaya memulihkan syarikat-syarikat ini. Kami percaya dengan kerjasama semua anggota PH, kita boleh pulihkan banyak lagi syarikat, termasuk Persatuan Bola Sepak Melaka,” katanya. — Bernama 
 
 

Tiada ulasan: