Selasa, 22 Oktober 2019

Siasat dalang komik propaganda

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Kandungan komik cuba nafi sejarah asal Tanah Melayu: UMMAH

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa kerajaan menyiasat pihak yang bertanggungjawab dalam penerbitan dan pengedaran Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, yang didakwa disebarkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan di Pulau Pinang.

Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahaya berkata, komik itu cuba menimbulkan keraguan dan menafikan sejarah asal Tanah Melayu dan hak orang Melayu, malah memberi gambaran bahawa bangsa lain juga mempunyai hak yang sama.

Beliau berkata, komik yang dianggap propaganda DAP dalam mempengaruhi pelajar di peringkat sekolah itu cuba menggambarkan sifat orang Melayu yang bodoh dan pengecut dalam proses memerdekakan Tanah Melayu.

“Komik ini menggambarkan perjuangan Ko Min Tang, Bintang Tiga dan komunis juga turut terbabit dalam proses memerdekakan Tanah Melayu yang kita tahu adalah satu penyelewengan sama sekali.

“Malah kandungan komik itu cuba memasukkan perjuangan ideologi politik DAP ke sekolah-sekolah secara jelas,” kata beliau ketika sidang media di Pejabat Muafakat di Taman Melawati, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada masa sama, UMMAH membantah pengedaran komik itu yang menggunakan instrumen kerajaan bagi memberikan gambaran dan pengesahan seolah-olah ia mendapat kebenaran daripada Pejabat Perdana Menteri.

Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, komik itu tidak mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), apabila kementerian itu menafikan komik terbabit mendapat semakan dan pengesahan untuk diterbit dan diedarkan.

“Oleh itu, UMMAH meminta kerajaan menyiasat pihak yang bertanggungjawab terutamanya kepada pereka karikatur ini, Dr Hew Kuan Yau dan Timbalan Menteri Pendidikan yang mana tersebar di media sosial menunjukkan beliau menerima komik ini seolah-olah mengiktiraf daripada penerbitnya.

“Kita menganggap tindakan itu satu kesalahan yang bertentangan dengan prinsip keharmonian kaum di negara ini yang mengubah bukan sahaja sejarah, malah fakta kemerdekaan,” kata beliau.

Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dinyatakan sebagai pemberian ihsan Muzium Kebudayaan Komik Asia. Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching Po Ling.

Ia diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu, Melayu, Cina dan Bahasa Inggeris.

Tiada ulasan: