Sabtu, 19 Oktober 2019

Zuraida: PKR kena siasat jika ada komplot halang peralihan kuasa

Haspaizi Zain
 
 

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menggesa parti itu menjalankan siasatan sekiranya wujud komplot dalaman bagi menghalang proses peralihan kuasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat usaha belakang tabir untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru dan menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri kelapan.

"Kalau betul Keadilan (PKR) kena siasat dan jika ada kebenaran kena bertindak.

"Semua harus taat pada janji dan menjalankan tugas dengan baik. Tidak harus ancam mengancam (sesama sendiri)," katanya dalam sidang media, hari ini.

Zuraida bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Be Green & Pelaksanaan Program Water For Life di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di Hulu Langat, Selangor.

Sekretariat Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini membuat kenyataan mengejutkan apabila mendakwa bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein mengadakan komplot  untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah.

PH juga mendakwa Hishamuddin cuba menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim daripada menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Bekas menteri pertahanan itu menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan dirinya kini sudah tidak mempunyai pengaruh besar dalam Umno.
Bagaimanapun sumber mendakwa sebaliknya - dan mendedahkan Hishammuddin bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu dalam PH sendiri.

Sekurang-kurangnya tiga nama disebut terlibat iaitu Anggota Parlimen Larut Hamzah Zainuddin dan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof dari Bersatu, serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dari PKR.

Malam tadi, Majlis Pimpinan Pusat PKR, menggesa semua pihak berwaspada dengan mereka yang sedang membuat 'perancangan tersembunyi' serta menyusun agenda politik tertentu demi keuntungan politik peribadi.

'Jangan bangkit lagi peralihan kuasa'

Dalam pada itu Zuraida ditanya mengenai pendirian berhubung proses peralihan kuasa membabitkan Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, semua pihak telah bersetuju untuk tidak membangkitkan isu berkenaan dan memberi lebih fokus kepada bekerja bagi memenuhi amanah rakyat.

"Jangan bangkit lagi, kita buat kerja seperti bersihkan sungai ini (merujuk kepada program dihadirinya).

"Sampai masa Allah SWT akan tentukan," katanya lagi.

Hadir sama pada majlis itu, Ir Dr Zaini Ujang, Lembaga Pengarah Yayasan Petronas, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemical, Sazali Salleh dan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemaharian, Kementerian Belia dan Sukan, Ir Dr Azmi Ahmad.

Tiada ulasan: