Khamis, 17 Oktober 2019

Siasat video, gambar pemimpin PKR hadir majlis LTTE

Nizam Zain

Screenshot_20191015_190358


KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memandang serius penularan video dan gambar membabitkan Ketua Cabang Port Dickson, Ravi Munusamy yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di media sosial.

Pengarah Strategik Angkatan Muda Keadilan Teluk Kemang, Nazrul Aznan Mohd. Kadri menegaskan, PKR perlu tegas dan jangan berkompromi dalam soal keselamatan walaupun membabitkan pimpinannya sendiri.

“Ia sangat memalukan parti, lebih lagi Port Dickson (Teluk Kemang) diwakili Presiden PKR juga bakal Perdana Menteri kelapan.

“Parti harus mengambil tindakan ke atas Ravi.

“Tindakan Ravi turut memalukan Kerajaan Negeri Sembilan, kedudukannya selaku Timbalan Speaker juga perlu diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar dan video menunjukkan Ravi selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Tanjong didakwa hadir sebagai tetamu kehormat dalam satu program menyokong LTTE.

Dalam pada itu, Nazrul Aznan juga mendesak pihak polis segera menyiasat kesahihan video dan gambar tersebut termasuk memanggil Ravi bagi membantu siasatan.

“AMK Teluk Kemang tanpa selindung dengan ini turut mendesak pihak Polis DiRaja Malaysia melakukan siasatan dan tindakan ke atas Ravi berkaitan kehadiran beliau selaku tetamu kehormat dalam program menyokong LTTE.

“AMK Teluk Kemang melihat isu ini sebagai isu keamanan dan menyeru semua pihak menyokong tindakan pihak polis dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan negara,” katanya.

Katanya lagi, tindakan tegas juga perlu dilakukan segera bagi menjaga nama baik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh terpalit dengan pembabitan anggota di kawasan dengan kumpulan pengganas.

“Bagi AMK Teluk Kemang sangat jelas, mempertahankan kepercayaan dan kepentingan rakyat kepada parti khususnya menjaga nama baik Presiden selaku bakal Perdana Menteri jauh lebih penting dari menjaga kepentingan seorang Ketua Cabang PKR dengan kumpulan pengganas sokonganya.

“Semua pemimpin yang dipilih rakyat, sedarlah kamu dipilih untuk bela rakyat bukan menyumbang kepada kumpulan pengganas luar sehingga menjejaskan negara.

“Sudahkah semua pengundi kamu terbela sehingga kamu punya banyak masa dan sumber kewangan untuk membantu kumpulan pengganas LTTE pula?” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: