Ahad, 27 Oktober 2019

Lebih 1,200 mangsa banjir dipindahkan di 6 negeri

Mangsa banjir ditempatkan di PPS SK Changkat Jong di Teluk 
Intan, Perak. (Gambar Bernama)
 
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di enam negeri meningkat kepada 1,239 orang daripada 363 keluarga setakat 4 petang tadi.

Negeri terlibat adalah Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Kedah.

Di Selangor, 743 mangsa daripada 234 keluarga ditempatkan di PPS Kuala Selangor.

Jurucakap Smart Selangor Command Center berkata, mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Jeram, meningkat kepada 536 orang daripada 148 keluarga berbanding 492 mangsa pagi tadi.

“PPS SK Ijok turut mencatatkan peningkatan jumlah mangsa, di mana kini ia dihuni 72 mangsa daripada 49 keluarga berbanding 32 orang pagi tadi.

“Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Desa Coalfields kekal 89 orang daripada 22 keluarga, manakala di SK Jaya Setia pula seramai 46 mangsa daripada 15 keluarga,” katanya kepada Bernama.

Di Negeri Sembilan, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jelebu berkata, mangsa banjir di PPS Balai Raya Kampung Juntai dan Masjid Kampung Jerang daerah itu meningkat kepada 69 orang daripada 23 keluarga berbanding 38 orang daripada 16 keluarga pagi tadi.

Di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 200 mangsa petang tadi berbanding 198 mangsa tengah hari tadi yang ditempatkan di dua PPS.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia, semua mangsa itu ditempatkan di dua PPS masing-masing di daerah Kerian dan Hilir Perak setakat 2.27 petang tadi.

“Seramai 69 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS SK Changkat Jong, Teluk Intan di Hilir Perak, manakala PPS SK Changkat Lobak, Jalan Selama di Kerian pula masih menempatkan 131 orang membabitkan 30 keluarga.”

Menurut portal itu lagi, seramai 10 orang daripada empat keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teras, Ijok dekat Batu Kurau, di daerah Larut Matang dan Selama, susulan kejadian tanah runtuh Jumaat lalu.

Di Johor, jumlah mangsa banjir melibatkan dua daerah kekal 105 orang daripada 24 keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, 89 orang daripada 21 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Melayu Raya di Pontian petang tadi.

Mereka datang dari Kampung Sepakat Jaya, Kampung Melayu Raya, Kampung Maju Jaya, Kampung Pak Khalid dan Kampung Paya Embun.

Menerusi satu kenyataan ringkas, beliau berkata, 16 mangsa daripada tiga keluarga di Batu Pahat masih ditempatkan di PPS SK Sungai Kajang sejak 23 Okt lalu.

Di Pulau Pinang, seramai 94 mangsa banjir di Bukit Mertajam masih ditempatkan di PPS sehingga petang tadi, ia semakin berkurangan berbanding 147 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, tiga PPS masih dibuka dan menempatkan 25 keluarga sehingga 4 petang tadi.

Katanya, 46 orang daripada 10 keluarga masih berada di PPS Dewan Orang Ramai Taman Sukun, 22 orang daripada lapan keluarga di Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh, 26 orang daripada tujuh keluarga di PPS Tadika Kemas Kampung Manggis.

Beliau berkata, penduduk Kampung Manggis ditempatkan di PPS itu sejak Selasa lalu kerana air belum surut sepenuhnya berikutan hujan yang kerap turun pada petang dan malam.

Di Kedah, sebuah PPS menempatkan 28 mangsa daripada sembilan keluarga dibuka di Pendang kira-kira 2.15 petang tadi.

Info bencana banjir JKM berkata, mereka ditempatkan di Dewan Serbaguna Pendang selepas air Sungai Pendang melimpah ke kediaman penduduk di Kampung Sukamari, Kampung Hampar Kanan, Kampung Batu Hampar, Kampung Banggol Kambing dan Kampung Tanah Merah Dalam, khasnya yang menetap di tepi sungai.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi laman sesawangnya meramalkan semua negeri di Semenanjung, Labuan serta Kudat dan Sandakan di Sabah akan mengalami ribut petir di beberapa kawasan esok.

Turut dijangka mengalami ribut petir ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit dan Bintulu di Sarawak.


Tiada ulasan: