Isnin, 21 Oktober 2019

Usah fikir kaum lain, utamakan ekonomi Melayu

fazleen safina 

 

Exco Perak tak bijak, tak faham matlamat kempen BMF dilancarkan

KAJANG– “Tak perlu terlalu memikirkan kaum lain, yang patut kita fikir sekarang cara nak bantu mengukuhkan ekonomi bangsa kita,” kata Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kajang, Dr Nor Azyati Yusoff.
 Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan kerajaan Perak melarang sebarang penganjuran Kempen Beli Produk Muslim di dalam kawasan masjid.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi dilaporkan berkata, keutamaan diberikan kepada promosi kempen Beli Barangan Halal Dahulu seperti yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Menyifatkan tindakan pemimpin Pakatan Harapan sebagai tidak bijak, Dr Azyati mahu seluruh masyarakat meneruskan kempen BMF memandangkan ekonomi kaum lain di negara ini lebih stabil berbanding dengan bangsa Melayu.

“Mereka kena tahu sebab apa BMF dilancarkan. Kita bukan niat nak boikot. Matlamat kita nak bantu ekonomi orang Melayu Islam.

“Kita dapat lihat realiti ekonomi kalau ikut kajian memang kita ketinggalan walaupun memang tak dinafikan ada juga usahawan Melayu yang berjaya,” katanya kepada Ismaweb.

Pada masa sama, Dr Azyati berkata, kempen BMF yang dijalankan bukan sahaja mempromosi ekonomi umat Islam, malah ianya juga membantu supaya setiap muslim peka dan menyokong perniagaan saudara sesama muslim yang lain.

Justeru, beliau menggesa supaya kempen berkenaan perlu diteruskan dan diberi pendekatan kepada seluruh muslim.

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dengan kerjasama Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) dan Abata adalah penggerak utama dalam Kempen Beli Produk Muslim kepada masyarakat Islam di negara ini.

Kempen ini bertujuan membantu meningkatkan pendapatan peniaga Islam dan memberi alternatif lain kepada masyarakat Islam.

Tiada ulasan: