Khamis, 31 Oktober 2019

Umno tak tanding PRK Tg Piai kerana takut kalah, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad.

PONTIAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad berkata, Umno tidak meletakkan calon untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai kerana takut kalah.

“Umno takut sebab saya tahu kalau dia letak, akan kalah. Kita yakin kita boleh menang walaupun dia letak sesiapa. Kalau letak Umno lebih baik, tapi dia letak MCA (sebagai wakil BN),” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bin Chong, di sini sempena lawatan kerja sehari ke Johor hari ini.

Pengerusi PPBM itu mengulas tindakan BN memilih calon MCA, iaitu bekas penyandang kerusi itu selama dua penggal, Wee Jeck Seng, 55, bukannya calon Umno seperti yang disebut-sebut sebelum ini.

Wee pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2008 hingga 2018. Beliau sekali lagi bertanding bagi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lepas, namun tewas kepada calon PH, Md Farid Md Rafiq.

Isnin lalu, Ketua PPBM Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, diumumkan sebagai calon PH untuk PRK tersebut.

Berasal dari Pontian, Karmaine merupakan anak seorang tokoh agama tempatan dan pernah menjadi imam Masjid Al-Muttaqin di Johor Bahru serta pengerusi Biro Agama PPBM Johor.

Pada PRU14, Karmaine bertanding di Parlimen Pontian tetapi tewas kepada calon BN, Ahmad Maslan dengan hanya majoriti 833 undi.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahathir sempat menyentuh mengenai Karmaine yang diyakini akan memberi kemenangan dan mengekalkan kerusi tersebut buat PH.

“Saya percaya, calon ini boleh menunaikan janji-janjinya. Beliau dikenali di kawasan ini dan akan mendapat sokongan daripada kerajaan (untuk menunaikan janji). Saya berasa gembira berada di sini. Kita akan berusaha untuk memastikan beliau akan berjaya. Itulah harapan kita,” katanya disambut tepukan gemuruh.

Mahathir turut berpesan hanya calon daripada kerajaan sahaja yang mampu menunaikan janji, berbanding daripada kem pembangkang yang hanya pandai menabur janji serta tidak boleh melaksanakannya.

Tegasnya, PRK ini bukan medan menukar kerajaan dan kerana itu janji-janji pembangkang tidak boleh ditunaikan, berikutan tiada mandat dan kuasa berbanding calon kerajaan.

“Siapa menang, kalah, kerajaan tetap sama iaitu PH. Kenapa saya cakap tiada perubahan? Kerana pembangkang hanya akan berjanji (ketika PRK) tetapi apabila menang, mereka tidak boleh menunaikan janji kerana mereka bukan kerajaan.

“Tetapi jika PH menang, kita boleh tunaikan janji. Niat kita untuk bantu dan kayakan rakyat khasnya di kawasan luar bandar. Ada perbezaan dari segi kampung, negeri, bangsa dan kaum…kekayaan ini berbeza-beza dan boleh timbul perasaan marah dengki. Tetapi jika kita boleh kurangkan jarak pendapatan, soal kelainan dan perbezaan ini tidak akan menjadi masalah besar antara satu sama lain,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Nov sebagai hari penamaan calon dan 16 Nov sebagai hari mengundi bagi pilihan raya kecil Parlimen itu.

PRK itu diadakan selepas Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

Pada PRU14, Farid memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

Tiada ulasan: