Khamis, 31 Oktober 2019

Kampung Baru perlu dikekalkan warisan turun-temurun Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Jadikan pembangunan Kampung Gelam di Singapura sebagai contoh


BANGI – Kerajaan disyor membangunkan tanah Kampung Baru dengan cara pembangunan lebih ‘mesra’ kepada Melayu, selaras dengan objektif asal tanah itu yang dikurniakan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman).

Justeru, Pensyarah Jabatan Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak, Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak meminta kerajaan mengekalkan Kampung Baru sebagai warisan turun-temurun Melayu serta memastikan kelangsungan survival dan keberadaan masyarakat Melayu selaku komuniti di Kuala Lumpur.

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian pelancong dalam mengenali kebudayaan dan adat masyarakat Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau turut memberi contoh di Singapura, apabila kerajaannya mengambil alih kawasan penempatan Melayu iaitu Kampung Gelam di tengah-tengah Singapura pada tahun 2002.

Beliau berkata, tanah itu adalah milik keturunan bekas Sultan Johor-Riau yang diturunkan daripada takhta pada tahun 1819 oleh Sir Stamford Raffles.

Bahkan, tanah itu sempat menjadi polemik tidak hanya dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura, tetapi juga menarik perhatian masyarakat Melayu di Malaysia. 

“Namun begitu, tanah perkampungan tersebut telah diambil oleh Kerajaan Singapura dan dibangunkan dengan Pusat Kebudayaan Melayu Singapura,” katanya.

Tanah Kampung Baru yang dahulunya berstatus tanah rizab pertanian Melayu mahu dibeli oleh pihak kerajaan untuk tujuan pembangunan.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengumumkan kadar baharu bagi pembelian tanah di Kampung Baru dengan nilai RM1,000 satu kaki persegi, yang mana RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan pulangan yang dipilih pemilik tanah sama ada dalam bentuk tunai; tunai dan aset; aset sahaja; atau saham.

Sementara baki RM150 lagi, beliau berkata, pulangannya adalah berbentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Khalid juga berkata, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.


Tiada ulasan: