Khamis, 31 Oktober 2019

Adun DAP mahu dibebaskan walaupun berdepan dakwaan keganasan, kata peguam

Suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini 
untuk dikenakan tuduhan tambahan.

KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili lima lelaki, termasuk dua Adun DAP yang berdepan dakwaan berkaitan keganasan pada Selasa lalu berkata, mereka tidak menarik balik permohonan habeas corpus yang difailkan minggu lalu.

“Saya tidak fikir perkara itu sudah menjadi akademik, walaupun kelima-limanya sudah didakwa,” kata Ramkarpal Singh kepada FMT ketika ditanya jika anak guamnya akan menarik balik permohonan itu kerana mereka sudah didakwa minggu ini.

Permohonan itu yang dijadualkan didengar di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Shariff Abu Samah, hari ini ditunda ke 5 Nov nanti.

Adun Seremban Jaya, M Gunasekaren, Adun Gadek, G Saminathan, S Chandru, V Suresh Kumar dan S Arivainthan memfailkan permohonan itu pada 21 Okt lalu susulan penahanan mereka pada 10 dan 12 Okt lalu.

Mereka memohon dibebaskan daripada penahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) susulan dakwaan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang sudah terkubur.

Dalam permohonan secara berasingan itu, lima lelaki terbabit menamakan pegawai penyiasat masing-masing, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua polis negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Mereka berkata, penahanan itu menyalahi undang-undang kerana tiada pematuhan ketat ke atas Sosma dan bertentangan kebebasan asasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, Gunasekaran, Saminathan, Suresh dan B Subramaniam didakwa memberi sokongan kepada LTTE melalui ucapan atau media sosial sejak 2014 hingga bulan ini.

Lapan lagi – A Kalaimughilan, Chandru, V Balamurugan, Arivainthan, R Sundram, S Thangaraj, M Pumugan dan S Teran – berdepan satu pertuduhan tamabahn memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas itu.

Semua kecuali Subramaniam dan Sureshkumar didakwa dengan pertuduhan sama di lima negeri pada Selasa lalu. Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: