Isnin, 7 Oktober 2019

Sekolah vernakular gagal bentuk integrasi nasional, perpaduan

ainulillia

 

iGuru sokong syor, resolusi kluster pendidikan Kongres Maruah Melayu

BANGI – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyokong penuh cadangan dan resolusi Kluster Pendidikan sempena Kongres Maruah Melayu berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, semalam. 

Kluster itu mengetengahkan tuntutan untuk memperkasa Sekolah Kebangsaan sebagai sekolah utama di dalam sistem pendidikan negara, selain turut meminta kerajaan memansuhkan pelaksanaan sistem sekolah vernakular kerana ia tidak memupuk perpaduan yang sepatutnya.

Turut berpandangan sama, Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berkata, kewujudan sekolah-sekolah vernakular menjadi penghalang kepada  perpaduan kaum sebagaimana hasrat yang disyorkan oleh Penyata Razak 1956.

“Kewujudan sekolah vernakular menyebabkan integrasi nasional gagal dibentuk dan melebarkan jurang polarisasi kaum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara langkah memperkasa sekolah kebangsaan ialah meningkatkan bajet pendidikan untuk tujuan penambahbaikan prasarana, akses internet berkualiti, latihan perguruan dan kurikulum pendidikan yang menenuhi keperluan menghadapi IR 4.0.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga menyokong usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran bagi langkah mewujudkan sekolah satu aliran. 

“Ini mesti dimulakan seawal lagi di peringkat sekolah rendah,” katanya.

Semalam, Mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris, Nurul Fatin Aqilah Rahim berkata, pemansuhan sekolah vernakular boleh dilakukan dalam tempoh enam tahun jika kerajaan mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah berkenaan.

“Gunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk murid tahun satu pada tahun 2021, tahun dua untuk 2022 dan seterusnya, sehingga 2026. Menjelang tahun 2026, semua sekolah menjadi satu aliran,” katanya.

Dalam pada itu, iGuru turut menyahut syor Kongres Maruah Melayu untuk menambah biasiswa penuh kepada pelajar-pelajar golongan B40. 

“iGuru mencadangkan supaya GLC kerajaan mengutamakan pemberian biasiswa kepada anak- anak Melayu dan Bumiputera, di samping biasiswa JPA, Mara, Petronas dan Bank Rakyat.  Sewajarnya, pihak kerajaan perlu mewujudkan tabung biasiswa anak-anak Bumiputera terutama membantu anak-anak B40. 

“iGuru berharap langkah memperkasa sekolah kebangsaan dan pemberian biasiswa kepada anak kelompok B40 adalah satu usaha mengangkat agenda Nasional Bangsa Melayu,” katanya.


Tiada ulasan: