Jumaat, 18 Oktober 2019

Ramasamy selar majlis profesor pertahan Zainal Kling

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

PETALING JAYA: Pemimpin DAP P Ramasamy hari ini menyelar Majlis Profesor Negara kerana mempertahankan ahli akademik Zainal Kling berhubung kenyataannya pada Kongres Maruah Melayu baru-baru ini, dengan berkata, tidak banyak perubahan yang berlaku sejak majlis itu dijadikan entiti korporat.

“MPN mungkin telah mengubah pendaftarannya, tetapi ia masih dianggotai ahli akademik utama yang pernah berkubu di bawah Barisan Nasional,” kata Ramasamy yang merupakan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

“Seiring dengan kontroversi yang menyelubungi peranan MPN sebagai ‘pak turut’ kepada bekas kerajaan BN, wujud jangkaan ia mungkin akan memainkan peranan lebih kritikal selepas berubah menjadi sebuah entiti korporat.”

Semalam MPN berkata, kenyataan Zainal berhubung konsep kontrak sosial di kongres tersebut pada 6 Okt adalah “tepat dari sudut sejarah”.

Katanya, konsep itu “diisyaratkan secara tidak langsung” dan tidak ditulis secara langsung dalam Laporan Suruhanjaya Reid 1957, yang merupakan bahagian penting perlembagaan persekutuan.

Ia menegaskan bahawa ucapan Zainal tidak mengandungi apa-apa elemen mengapi-apikan yang boleh membawa kepada kerusuhan awam.

Ramasamy berkata, walaupun MPN mungkin tidak bersikap kritikal terhadap hal-ehwal berkaitan kongres itu, namun ia tidak dijangka memberikan “sokongan membuta-tuli” kepada Zainal.

“Pegawai MPN tahu bahawa ‘kontrak sosial” yang kabur itu lebih merupakan cebisan imaginasi Zainal,” katanya.

“Bagi orang seperti Zainal pemikiran khayalan begitu bukanlah sesuatu yang baru. Beberapa tahun lepas, beliau juga pernah mempersoalkan sama ada Semenanjung Malaysia pernah dijajah oleh British.”

Ramasamy berkata, walaupun MPN terdiri daripada hampir 1,500 orang profesor di universiti awam, mereka tidak melakukan apa-apa yang signifikan bagi mengangkat standard akademik pensyarah dan profesor sepanjang 12 tahun lepas.

Katanya, anggota MPN kelihatan tidak demokratik dan tidak berubah dari segi pemikiran dan tindak-tanduk mereka.

“Apakah kita benar-benar memerlukan badan seperti MPN? Saya kurang pasti. Persoalannya ialah sama ada MPN memerlukan kepimpinan baru, yang bersedia memikul cabaran kritikal yang dihadapi negara serta institusi pengajian tingginya.”

Tiada ulasan: