Tampil membela partinya, Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendakwa pihak yang sebenarnya "bodoh" ialah Bersatu yang kini dipimpin Dr Mahathir Mohamad.
Membuat hantaran di Facebook petang ini Ahmad Zahid juga memberikan nasihat kepada Bersatu - serta PH - agar memisahkan diri masing-masing daripada DAP.
Kata bekas timbalan perdana menteri itu, DAP menjadikan Bersatu dan PH sebagai boneka mereka.
"Saya kira eloklah beliau (Mahathir) bermuhasabah dan berusaha berhenti daripada diperbodohkan oleh DAP dalam pakatannya sendiri," katanya sambil mengiringi hantaran tersebut dengan berita disiarkan Malaysiakini semalam.
Kata Mahathir ada pemimpin Umno di peringkat cawangan menyekat orang lain - yang dirasakan lebih pandai - daripada menyertai parti itu kerana bimbang kedudukan mereka akan terancam.
"Ketua cawangan tidak membenarkan orang yang lebih pandai daripadanya menyertai parti. Yang boleh menyertai cawangan itu adalah orang yang lebih bodoh.
"... tetapi mereka tidak boleh hidup selamanya, apabila mati pemimpin cawangan itu, penggantinya lebih bodoh.
"Yang bodoh ini tak bagi orang lain masuk (Umno), cuma yang lebih bodoh saja boleh masuk. Lepas itu dia mati, yang bodoh juga akan ganti.
"Yang pada masa itu saya juga jadi presiden parti," katanya di Serdang, Selangor.
Ahmad Zahid berkata ketua-ketua Umno di peringkat cawangan bukanlah bodoh, sebaliknya bijak membuat penilaian serta sabar dan setia.
"Mesyuarat perwakilan Umno di 191 bahagian sedang berlangsung dengan penuh bersemangat dan harmoni," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan