Isnin, 1 Julai 2019

Tak perlu tutup sekolah

siti hafidah 

 

Bacaan gas di 72 buah kilang sekitar Pasir Gudang masih terkawal

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tiada keperluan bagi sekolah di Pasir Gudang ditutup buat masa ini, susulan gangguan kesihatan yang membelenggu warga sekolah di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata ia bergantung kepada situasi semasa berdasarkan maklumat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memantau kualiti udara di kawasan berkenaan.

Sehingga ini, JAS telah membuat pemeriksaan ke atas 72 buah kilang di kawasan sekitar dan mendapati bacaan gas di kilang terbabit masih terkawal secara keseluruhannya.

“Saya ingat sekarang ini tidak ada sebab untuk tutup sekolah… kaedah elimination punca-punca yang berpotensi menyebabkan pencemaran sedang diteruskan oleh JAS bagi mengenalpasti punca utama (gangguan kesihatan),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sesi persekolahan di semua 111 sekolah rendah dan menengah di Pasir Gudang yang ditutup sejak Selasa lepas akibat gangguan pernafasan dan muntah-muntah dalam kalangan pelajar baru dibuka semula semalam.

Namun, 30 pelajar dan guru daripada 15 buah sekolah di Pasir Gudang dirujuk ke klinik kesihatan berikutan mengalami simptom muntah dan pening-pening selepas hadir sesi persekolahan semalam.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, pemantauan akan dilakukan setiap masa termasuk penggunaan alat pengesan bahan kimia serta sebuah stesen mobil bagi merekod kualiti udara.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian itu melalui Jabatan Pendidikan Negeri mengikuti perkembangan yang berlaku di kawasan terbabit secara dekat dan sebarang keputusan untuk menutup sekolah akan dibuat bersama dengan semua agensi terbabit termasuk kerajaan negeri. – Bernama


Tiada ulasan: