Ahad, 21 Julai 2019

Syed Saddiq umum bertanding ketua Pemuda PPBM

Bernama
Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
 
BUKIT MERTAJAM: Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan parti yang akan diadakan pada tahun ini.

Syed Saddiq yang juga menteri Belia dan Sukan berkata beliau meraikan budaya demokrasi dalam parti seperti yang disarankan Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad.

“Saya akan bertanding dan meraikan budaya demokrasi dalam parti seperti disarankan Tun Mahathir. Kita juga tidak boleh tutup pintu pertandingan kepada sesiapa sahaja yang mahu bertanding pada pemilihan PPBM.

“Kita juga perlu raikan mereka (yang bertanding) kerana fokus utama Pemuda merupakan teras dan tulang belakang kepada PPBM serta kami (Pemuda) juga perlu pastikan ia berkembang dengan budaya politik yang sihat di seluruh negara,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program FitMalaysia Zon Utara yang diadakan di Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP).

Semalam, Mahathir yang juga perdana menteri dilaporkan berkata terdapat kemungkinan pemilihan jawatan dalam parti PPBM, yang akan diadakan buat kali pertama, akan berlangsung tahun ini.

Katanya, PPBM belum menetapkan tarikh, bagaimanapun pihaknya berharap dapat mengadakannya tahun ini.

Tiada ulasan: