Ahad, 14 Julai 2019

Sikap kejar kuasa, kekayaan dalam Umno belum hilang, kata Annuar

Annuar Musa berkata, sikap mengejar kuasa dan kekayaan perlu 
dibuang untuk membolehkan Umno bangkit serta kembali 
kepada matlamat perjuangan untuk agama.
 
KUALA SELANGOR: Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa mengakui masih ada sikap mengejar kuasa dan kekayaan dalam parti itu selepas ia mengalami kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Katanya, sikap itu perlu dibuang untuk membolehkan Umno bangkit dan kembali kepada matlamat perjuangan untuk agama.

“Orang Umno ini terutamanya bila dah peringkat senang dapat kerajaan, dia nampak nak jadi calon, nampak kekayaan, nampak projek, nampak harta dan inilah bahana yang telah menimpa kita, sampai sekarang penyakit ini belum hilang.

“Umno ini bukan tempat nak cari harta. Umno adalah satu-satunya parti yang wujud dalam negara kita di saat kita tidak ada kekayaan, tidak ada harta, tidak ada ilmu.

“Parti ini wujud sebelum ada sistem pilihan raya,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor hari ini.

Beliau turut mengingatkan ahli untuk berjuang demi Islam, bukannya bangsa Melayu.

“Lahir Umno apabila Orang Melayu dan umat Islam dalam negara terpanggil setelah sekian lama kita hidup tanpa menegakkan agama.

“Saya selalu kata kalaulah negara ini dijajah oleh Islam, katakan Portugis itu Islam, Belanda itu Islam, Siam itu Islam, saya percaya Umno tidak akan wujud.”

Pemimpin lompat parti 

Annuar melabelkan bekas pemimpin Umno yang menyertai parti lain sebagai makhluk 2 alam.

Beliau mendakwa Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed menyertai Umno demi jawatan menteri, tetapi beliau melompat ke PPBM selepas kekalahan mengejut Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Mereka yang lompat parti ini, pada saya adalah makhluk 2 alam yang sifatnya jika disembelih sekalipun kita tak boleh makan, mereka hanya nak bersama-sama kita semasa senang, tetapi bila kita kalah saja terus lompat.”

Beliau bersyukur dengan kekalahan BN tahun lalu yang berjaya menyatukan Umno dan PAS.

“Dari sudut kelangsungan politik orang Melayu yang telah sekian lama berpecah, ini (penyatuan Umno-PAS) adalah nikmat jauh lebih besar dan dengan kerjasama ini, tanpa meminggirkan komponen BN, kita akan merampas semula Putrajaya.”

Tak perlu persoal lantikan Najib
Annuar mengingatkan ahli dan pemimpin Umno supaya tidak mempersoalkan pelantikan Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat BN.

Katanya, Najib mempunyai peranan tertentu yang pemimpin lain tidak mampu lakukan ketika BN bergelar pembangkang.

“Kita suka bergaduh sesama sendiri. Umno ini bukan persoalan Najib atau (Ahmad) Zahid (Hamidi) semata-mata. Ini tidak, sudah elok-elok kita pilih presiden, ada pula yang suruh berhenti.

“Kita pula yang pergi pakai strategi musuh. Musuh tendang kita pergi terajang, musuh tikam kita bunuh, musuh matikan kita yang talkin kawan-kawan kita sendiri. Tak boleh, biarpun tempang atau cacat, ada peranannya.

“Dalam politik main dalam pasukan, kalau nak tunjuk hebat dan main solo boleh, tapi kena bebas. Datang pilihan raya, kita jadi calon sendiri dan pilih diri kita sendiri, tapi kalau kita ahli parti, kenalah bermain cara berpasukan.”

Lawan DAP kerana dasar

Annuar berkata, Umno menentang DAP bukan kerana ia diterajui bangsa lain, tetapi disebabkan dasar yang dibawakan parti itu.

“Kita menentang DAP bukan kerana ada Lim Kit Siang. Kita bukan tentang DAP kerana nama dia DAP, bukan kerana dia jatuhkan kita. Kita menentang DAP kerana dasar DAP itu, bukan sebab DAP itu Cina ke apa kerana Islam sendiri tidak melawan Cina.

“Perjuangan kita mesti berpandu kepada agama. Islam tidak pernah ajar sentimen perkauman kerana tanah Melayu ada Cina, India. Melayu Islam tidak lihat warna kulit sebab itu Islam larang, Malaysia ini bebas nak amal agama apa.”

Tiada ulasan: