Jumaat, 12 Julai 2019

PRU15 perlu RM1 bilion keterlaluan, kata bekas timbalan pengerusi SPR

Wan Ahmad Wan Omar berkata kos mengadakan PRU15 mungkin 
30% lebih tinggi daripada PRU14.
 
PETALING JAYA: Seorang bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya tidak bersetuju dengan dakwaan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang pilihan raya umum ke-15 memerlukan kos RM1 bilion disebabkan jumlah pengundi yang dijangka bertambah.

Wan Ahmad Wan Omar berkata, walaupun jumlah pengundi mencecah 20 juta – sejajar jangkaan had umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun – kos mengadakan pilihan raya mungkin bertambah kira-kira 30% berbanding PRU14 dan tidak akan mencecah RM1 bilion.

Wan Ahmad yang pernah menyelia 4 PRU memberitahu FMT, kenaikan itu mungkin disebabkan keperluan bagi kertas dan kotak undi tambahan, lebih ramai kakitangan untuk menguruskan pertambahan pengundi, alat tulis dan peralatan kos menyewa kenderaan serta helikopter bagi Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, tambahan pencetakan kertas undi sangat sedikit dan SPR perlu memperuntukkan tambahan wang sebagai elaun bagi pengambilan lebih ramai kakitangan pilihan raya.

Beliau berkata, kos untuk mengadakan program latihan tidak berubah kerana program itu masih sama, yang berbeza cuma pertambahan kakitangan yang menghadiri latihan itu.

Wan Ahmad berkata, kos pengangkutan, penginapan dan perjalanan tidak akan terjejas dengan peningkatan pengundi dan sepatutnya “hampir sama dengan PRU14”.

Katanya, salah satu faktor utama yang akan menjejaskan kos sesuatu pilihan raya ialah inflasi kerana ia akan memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan.

“Saya rasa kos RM1 bilion keterlaluan.

“Bagi saya, paling banyak ia mungkin menelan kos kira-kira RM750 juta bagi SPR melakukan tugasnya.”

Semalam, Syed Saddiq dilaporkan berkata PRU14 pada 9 Mei 2018 yang mempunyai 14 juta pengundi berdaftar menelan belanja RM500 juta.

Wan Ahmad berkata, berdasarkan pemerhatiannya selama 17 tahun bersama SPRM, belanjawan yang diperuntukkan boleh diuruskan dengan lebih baik dengan tidak mengambil katerer mahal untuk menyediakan makanan bagi kakitangan.

Katanya, SPR tidak perlu menghabiskan semua wang yang diperuntukkan untuk PRU kerana sebahagian peruntukan mereka turut merangkumi kemungkinan berlaku perkara di luar jangkaan seperti banjir.

Beliau berkata, Syed Saddiq mungkin meletakkan kos RM1 bilion kerana ia “lebih selamat”.

“Jika beliau letak angka lebih rendah dan jumlah sebenar yang diminta lebih banyak, ia akan menjadi isu tidak perlu.”

Tiada ulasan: