Khamis, 4 Julai 2019

Balu persoal SPRM namakan arwah suami dalam saman 1MDB


   

Peguam yang mewakili isteri Abdul Manan Ismail - salah seorang daripada 41 responden dalam saman yang difailkan SPRM untuk merampas aset berkaitan 1MDB - membantah usaha pihak pendakwaan yang ingin menggantikan nama responden dengan anak guam mereka.

Rohizah Ahmad membantah namanya menggantikan nama allahyarham suaminya sebagai penerima langsung memandangkan pihak pendakwaan menyedari suaminya telah meninggal dunia apabila saman untuk mendapatkan RM270 juta dana berkaitan 1MDB difailkan.

"Dari segi prosedur, dari segi proses tak betul. Ringkasnya, SPRM dah tahu arwah dah meninggal (dunia)," kata peguamnya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Jadi kenapa dari awal kamu tidak saman terus kepada penerima? Kenapa masih nak namakan arwah sebagai pihak (penerima)?

"Kita mohon penangguhan untuk pihak kami failkan afidavit jawapan dan juga notis-notis bantahan," katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan sebelum ini menetapkan 19 Ogos untuk mendengar permohonan SPRM dan bantahan responden.

Hakim juga menetapkan 19 Ogos untuk sebutan bagi permohonan berasingan peguam Rohizah untuk campur tangan dalam saman itu.

Peguam Shahrudin Ali berhujah bagi pihak Rohizah bahawa permohonan itu dibuat ketika anak guammnya, tanpa dipanggil sebagai responden, tidak mempunyai apa-apa jawapan balas terhadap afidavit pendakwaan dalam kes itu.

Manan yang juga anggota parlimen Paya Besar dari Umno selama dua penggal meninggal dunia pada Februari tahun lepas.

SPRM memfailkan samannya bulan lepas untuk mendapatkan dana yang diagihkan dari akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak di Ambank.


Tiada ulasan: