Rabu, 19 Jun 2019

Zuraida bawa usul pecat Haziq petang ini


   
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mahu kepemimpinan parti segera memecat Haziq Abdullah Abdul Aziz kerana telah memalukan serta mencemar nama baik parti susulan pengakuannya terbukanya yang terbabit dalam video seks dengan seorang lelaki yang didakwa mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, desakan supaya ketua pemuda PKR (AMK) Santubong itu dipecat akan dibawa pada mesyuarat Biro Politik PKR petang ini.

“Ya (saya akan desak parti pecat Haziq).

"Sepatutnya, tindakan pecat harus dikenakan kepada anggota terlibat kerana ia memalukan parti, mencemarkan parti dan juga mencemarkan kepimpinan parti,” katanya kepada pemberita selepas sambutan hari raya kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Zuraida berkata demikian ketika mengulas tindakan parti yang tidak mengenakan sebarang tindakan ke atas Haziq meskipun dia mengaku terlibat dalam perbuatan songsang itu.

Mesyuarat biro politik PKR biasanya dipengerusikan oleh presiden parti Anwar Ibrahim.

Zuraida turut menyifatkan kepemimpinan parti sebagai kurang bijak apabila tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Haziq susulan pengakuannnya terlibat dalam video seks.

“Apa yang saya nak tekankan di sini ada beberapa perkara yang asas pada saya, yang pada prinsipnya tindakan parti PKR itu sendiri saya rasa kurang kebijaksanaannya apabila dia (Haziq) sudah mengaku kesalahan secara terbuka.

“Kelakuan (seks) luar tabii adalah jenayah dalam negara,” katanya.

Mengulas dakwaan Azmin yang yakin konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks, dilakukan ‘orang dalaman’, Zuraida berkata beliau menyerahkan semuanya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

“Kalau Azmin yang dianggap pesalah tetapi menafikan pembabitan beliau, maka kita serah kepada polis untuk siasat,” katanya.

'Belum lagi dilabel parti pro-kesongsangan'

Azmin semalam dilaporkan berkata, beliau yakin konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks, dilakukan ‘orang dalam’.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, bagaimanapun dilaporkan berkata dakwaan Azmin bahawa penularan video terbabit mungkin didalangi ahli parti, tidak boleh membaiki tuduhan yang lain.

Saifuddin dilaporkan berkata, dakwaan mengenai pembabitan ‘orang dalam’ di sebalik penularan video berkenaan adalah ‘tuduhan yang biasa’ dan berharap polis diberi ruang menjalankan tugas mereka.

Ketika ditanya sama ada skandal video seks luar tabii terbabit akan membuatkan ramai pihak melabel PKR sebagai "parti pro-kesongsangan", ini jawab Zuraida:

“Belum lagi (dilabel sedemikian), tapi nanti petang saya akan tanya dia orang (dalam mesyuarat Biro Politik),” katanya.

Tiada ulasan: