Khamis, 13 Jun 2019

[UPDATE] 'Lebai' sembah berhala disiasat Bukit Aman

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
 


PASUKAN siasatan dari Bukit Aman mengambil alih kes lelaki berpakaian seperti ‘lebai’ dan menyembah berhala ‘Datuk Kong’ seperti dalam rakaman video yang tular baru-baru ini.

Difahamkan, lelaki berusia 43 tahun yang ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian 5 petang semalam tidak direman dan akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan ke atas suspek dijalankan pasukan siasatan Bukit Aman dan suspek tidak direman hari ini.

“Suspek yang berasal dari Tanjung Piandang, Parit Buntar dijangka dibebaskan petang ini selepas siasatan dijalankan.

“Kes ini diambil alih oleh pasukan siasatan dari Bukit Aman.

“Kes ini tidak terhenti di sini dan siasatan menyeluruh dari pelbagai aspek akan diteruskan pasukan siasatan Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan lelaki bukan beragama Islam itu ditahan selepas klip videonya berpakaian seperti seorang Muslim dan menyembah berhala tular di media sosial.

Omar Bakhtiar dalam kenyataannya berkata, siasatan terhadap suspek dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Berita berkaitan

'Lebai' sembah berhala dicekup
Video tular 'lebai' disiasat

Tiada ulasan: