Khamis, 13 Jun 2019

Klip video lucah: Hikmah qazaf dalam ‘politik hanyir’

ainulillia

 

 PAS haramkan budaya politik tak bermoral dalam parti atau lawan



BANGI – “Semakin terserlah kebaikan syariat Islam untuk memelihara maruah diri dan masyarakat terutama ketika menghadapi politik Machiavelli (matlamat menghalalkan cara)”, demikian kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau berkata demikian susulan kes penyebaran video lucah individu dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tular di media sosial, sejak kelmarin.

Susulan penularan klip video tidak bermoral itu, Setiausaha Politik Azmin, Mohammad Hilman Idham telah pun membuat laporan qazaf di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), hari ini.

Mohammad Hilman berkata, kedua-dua laporan itu dibuat supaya membolehkan kertas siasatan dibuka terhadap penyebaran video berkenaan.

Mengulas tindakan itu, Idris Ahmad berkata, apabila berlakunya politik ‘hanyir’ baru jelas kelihatan hikmah Islam mengenakan hukum qazaf kepada penuduh dengan hukuman 80 rotan apabila tidak membawa empat orang saksi.

“Islam mengenakan hukuman ini untuk memelihara maruah seseorang supaya ia tidak sewenang-wenangnya dituduh oleh mana-mana individu.

“Fitnah ini akan mengaibkan ahli keluarga, terutama anak-anak yang tidak berdosa. Apakah perasaan anak mereka apabila bertemu dengan kawan-kawan di sekolah.

“Stail politik ini juga merosakkan minda anak-anak sekolah yang masih mentah, apabila berita ini tersebar. Apakah kita mahu melahirkan generasi seperti ini?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, hukuman ini adalah sebagai amaran keras kepada mana-mana individu yang cuba mengaibkan seorang dengan perbuatan yang tidak bermoral.

“Kerana tabiat manusia lebih mudah menerima maklumat pertama, berbanding dengan penafian yang dibuat. Oleh itu, Islam daripada awal-awal lagi sudah memberi amaran dan hukuman.

“Biarlah orang mencerca syariat Islam, tetapi semakin terbukti dan teruji kehebatannya,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa PAS sebagai parti yang mengambil kira dosa dan pahala dan takut azab Allah, telah mengharamkan sama sekali budaya politik seperti itu, sama ada di dalam parti atau dengan parti lawan.


Tiada ulasan: