Sabtu, 1 Jun 2019

Tidak naik mendadak tetapi harga barang keperluan masih mahal

Shawaliah Hadir
MGF01062019_TINJAUAN-HARGA-BARANG-RAYA15-2-681x452
Suasana sekitar ketika tinjauan mengenai harga barang menjelang sambutan Aidilfitri di Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM
 

PETALING JAYA – Empat hari lagi menjelangnya Aidilfitri, sudah tentu ramai membuat persediaan membeli barang keperluan untuk digunakan bagi memasak juadah pagi raya.

Lazimnya para peniaga akan menggunakan kesempatan musim raya untuk mengaut keuntungan dengan menaikkan harga jualan seperti ayam, daging, sayur-sayuran dan banyak lagi.

Bagaimanapun, tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata pengguna berpuas hati kerana tidak ada kenaikan mendadak dilakukan khususnya terhadap barang kawalan.
MGF01062019_TINJAUAN HARGA BARANG RAYA26
Hamidah Wan Hassan
Bagi Hamidah Wan Hassan,43, yang setiap minggu ke Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mendapati, tidak ada kenaikan mendadak berlaku.

Malah, katanya, harga daging dan ayam sama seperti hari biasa.

“Saya selalu berbelanja di sini, setiap minggu jugalah. Saya rasa tidak banyak beza dari segi harga, harga ayam pun tidak naik juga.

“Barang keperluan di sini kami beli ayam, daging, bawang memang tidak ada kenaikan,” katanya.
MGF01062019_TINJAUAN HARGA BARANG RAYA25
Aminuddin Yaakob
Seorang pengguna, Aminuddin Yaakob, 48, juga berpuas hati dengan penetapan harga yang tidak diingkari oleh peniaga kali ini.

“Kat sini orang makin ramai, tapi harga lebih kurang sama dengan harga harian seperti yang kita beli sebelum inilah.

Sebab harga ayam seperti yang dipaparkan masih lagi ikut harga biasa,” katanya.
MGF01062019_TINJAUAN HARGA BARANG RAYA19
Fuziah Jaafar
Seorang suri rumah,  Fuziah Jaafar, 57, turut puas hati kerana para peniaga meletakkan tanda harga dengan jelas tanpa mengelirukan pelanggan.

Namun begitu tambah Fuziah, penguatkuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP) perlu sentiasa memantau di seluruh pasar raya sehingga sehari sebelum raya kerana ia merupakan tempoh kemuncak masyarakat berbelanja untuk menyambut Syawal yang dijangkakan jatuh pada Rabu nanti.

” Daripada pemerhatian saya, saya dapati harga biasa. Tidak ada naik mendadak. Kalau ada mungkin sikit. Daging dan ayam macam biasa, harga macam selalu yang saya beli.

“Pemantauan pun efisien jadi peniaga-peniaga sentiasa berjaga-jaga tidak menaikkan harga. Jadi mereka perlu memantau dengan lebih kerap,” tambahnya.
MGF01062019_TINJAUAN HARGA BARANG RAYA22
Shamsul Idham Ahad
Meskipun tiada kenaikan secara mendadak,  seorang pengguna Shamsul Idham Ahad, 47, kesal kerana ada harga barang keperluan yang berubah harganya setiap tahun.

Contohnya kata beliau, daging datang pinang kurang 18 bulan lalu berharga RM28 sekilogram namun kini melonjak sehingga RM38 ringgit.

Ikan kembung pula, ujar Shamsul menuju ke harga yang tidak munasabah apabila mencecah RM20 sekilogram berbanding hanya belasan ringgit sahaja tahun-tahun sudah.

Peningkatan konsisten ini disifatkannya membebankan pengguna yang semakin kecil kuasa belinya.

“Kalau bezakan 18 bulan lepas memang jauh berbeza harga daging, saya pun tak tahu kenapa.

“Daging batang pinang jika tahun lalu RM28 sekarang RM38 hingga RM40. Itu memang ketara sangat.

“Ikan kembung sekarang sampai RM20 tak masuk akal dah, sepatutnya RM12 tapi sekarang tak akan dapat. Pasar tani pun RM20 kalau nasib tak baik ada RM22,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: