Selasa, 18 Jun 2019

Tak wujud sindiket culik kanak-kanak untuk jual organ: Polis

tyrazalhe 

 

 Pemindahan organ hanya dilakukan secara sah oleh pakar perubatan


BANGI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi menafikan berita tular mengenai dakwaan terdapat sindiket penculikan kanak-kanak untuk tujuan penjualan organ di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, PDRM memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan berita palsu berkenaan, walaupun pihak polis telah beberapa kali membuat kenyataan bahawa kegiatan sedemikian tidak wujud di Malaysia.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, masyarakat harus maklum bahawa pemindahan organ hanya boleh dilakukan secara sah oleh pakar perubatan dan bukan sembarangan orang, lebih-lebih lagi ‘pemandu van putih’ yang sering dikaitkan dengan kegiatan menculik kanak-kanak.

“Pemindahan organ juga hanya boleh dilakukan mengikut prosedur-prosedur pembedahan yang ditetapkan.

“PDRM sekali lagi menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebar atau berkongsi maklumat palsu kerana tindakan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi turut menjejaskan ketenteraman awam serta membangkitkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Mazlan berkata, mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita-berita palsu, boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998, atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.


Tiada ulasan: