Ahad, 16 Jun 2019

Polis tangkap tiga sekeluarga disyaki dera dua kanak-kanak

ISMA WEB


Budak lelaki, perempuan berusia 7 dan 8 tahun ada kesan dera


KUALA LUMPUR- Tiga sekeluarga ditahan bagi membantu siasatan kes mendera dan memukul dua kanak-kanak, masing-masing lelaki dan perempuan berusia tujuh dan lapan tahun, di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong, Serdang tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata, bertindak atas laporan yang diterima, polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar gas berusia 33 tahun bersama isteri dan anak perempuannya, masing-masing berusia 30 dan 13 tahun.

“Siasatan mendapati kedua-dua mangsa tinggal bersama ketiga-tiga mereka sejak tujuh tahun lalu selepas ditinggalkan ibu bapa mereka yang sudah bercerai.

“Kedua-dua mangsa mengalami kesan dera hampir di seluruh badan selain dipercayai mengalami kurang zat badan,” katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Serdang.

Ismadi berkata, pemeriksaan lanjut di rumah menemui satu cota, satu garpu perak dan satu paip getah keras yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.

Katanya, permohonan reman untuk ketiga-tiga suspek akan dilakukan hari ini di Mahkamah Petaling Jaya. – Bernama


Tiada ulasan: