Khamis, 6 Jun 2019

Penganalisis: Pelantikan Latheefa ketuai SPRM bukan konspirasi sekat Anwar

Penganalisis menolak andaian bahawa pelantikan Latheefa Koya 
sebagai ketua pesuruhjaya SPRM merupakan ‘konspirasi besar’ 
untuk menghalang Anwar menjadi perdana menteri menggantikan 
Dr Mahathir Mohamad.
 
PETALING JAYA: Penganalisis menolak andaian seorang pemimpin pembangkang bahawa pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertujuan untuk menyekat Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Dalam satu respons pantas terhadap pelantikan Latheefa pada Selasa, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, ia berlawanan dengan janji Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kakitangan SPRM sendiri dilantik sebagai ketua suruhanjaya itu.

“Saya berasa terganggu bagi pihak Presiden PKR, Anwar Ibrahim kerana Latheefa diketahui umum selalu menyasarkan Anwar,” katanya di Facebook.

“Saya berharap pelantikannya (Latheefa) bukanlah satu konspirasi besar untuk menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri selepas ini.”

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, pada masa lepas memang Latheefa menyasarkan Anwar dan keluarga beliau, termasuk anaknya Nurul Izzah.

“Tetapi saya tidak jangka pelantikannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM merupakan ancaman kepada Anwar secara peribadi dan juga sekutu politik beliau,” katanya kepada FMT.

Mengakui bahawa pelantikan Latheefa memeranjatkan, namun Azmi berkata, ia merupakan kuasa budi bicara perdana menteri untuk berbuat demikian.

“Saya rasa pelantikan itu ada kaitan dengan kelewatan usaha pembasmian amalan rasuah yang sepatutnya dilakukan oleh SPRM,” katanya dengan menambah bahawa Dr Mahathir Mohamad mungkin percaya bahawa “orang luar” boleh mempercepatkan usaha tersebut.

Latheefa, seorang peguam hak asasi terkenal, dilantik menggantikan Mohd Shukri Abdull sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Pengumuman itu disambut perasaan bercampur-campur, dengan sebahagiannya mempersoalkan sikap neutralnya kerana beliau merupakan bekas ahli PKR dan pernah menjadi anggota jawatankuasa pusat parti itu.

Latheefa pernah mengkritik Anwar secara terbuka sebelum ini, dan pada Disember lepas mendakwa beliau mengamalkan kronisme dan nepotisme ketika melantik ketua negeri parti berkenaan.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia turut mempersoalkan andaian bahawa pelantikan Latheefa mungkin merupakan percubaan untuk menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri.

“Dalam keadaan hari ini, tidak mungkin Anwar atau sekutu rapatnya terlibat dalam rasuah, paling tidak bukan pada skala yang boleh didakwa,” katanya kepada FMT.

Katanya adalah lebih munasabah Mahathir mahu menunjukkan pengaruhnya dan memberitahu dunia bahawa beliau mengawal keadaan, bukannya menjadi boneka mana-mana pihak.

“Ironisnya, ia merupakan antitesis terhadap dakwaan PH sebelum ini, yang menjanjikan sebuah pakatan politik yang demokratik dan responsif.

“Mungkin ia disebabkan langkah agresif pihak yang tidak sebulu dengan Mahathir yang mahu menekannya supaya menyerahkan kuasa kepada Anwar lebih cepat,” tambahnya.

Felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berkata, walaupun tampak jelas bahawa Mahathir tidak berniat menyerahkan baton kepimpinan kerajaan kepada Anwar, namun pelantikan Latheefa tidak semestinya berkait dengan perkara itu.

“Tidak jelas sama ada ia ada kaitan dengan keengganan menyerahkan kuasa kepada Anwar,” katanya dengan menambah bahawa Mahathir tidak menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar 2 dekad lepas, semasa beliau menjadi perdana menteri buat kali pertama.

Oh berkata, latar belakang politik Latheefa tidak harus dikaitkan dengan pelantikan baru itu.

“Kita perlu faham konteks penuh bagaimana ia (pelantikan) dibuat,” katanya kepada FMT.

“Pada masa pemerintahan Barisan Nasional (BN), aktivis sosial dan demokrasi tidak mempunyai banyak ruang untuk mempromosi ideologi mereka, dan ramai dalam kalangan mereka menyertai parti pembangkang sebagai satu bentuk platform sosial bagi menyampaikan pegangan masing-masing.

“Berikutan kelantangan dan karisma mereka, sebilangannya, seperti Latheefa, menonjol dengan cepat. Sebilangan yang lain pula hilang semangat, yang mungkin juga merupakan sebab kenapa beliau tidak bertanding dalam pemilihan parti tahun lepas.

“Justeru untuk terlalu mengaitkan Latheefa dengan sikap partisan adalah satu percubaan untuk merosakkan reputasinya yang cemerlang selama ini,” katanya.

Tiada ulasan: