Rabu, 19 Jun 2019

Loke elak wartawan mahu tanya isu MH370


   

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengelak daripada petugas media selepas menghadiri mesyuarat bulanan kementeriannya di Putrajaya petang ini.

Wartawan antara lain mahu bertanyakan kepadanya mengenai dakwaan penulis penerbangan Amerika, William Langewiesche berhubung siasatan kehilangan pesawat MH370 pada 2014.

Seorang wartawan memberikan isyarat kepada Loke bahawa wartawan mahu mengemukakan soalan dan menteri itu kemudian mengangguk tanda setuju.

Bagaimanapun, Loke kemudian beredar melalui salah satu pintu di dewan berkenaan.

Apabila pemberita mendapati beliau keluar melalui pintu sebelah, mereka cuba mengejarnya tetapi menteri berkenaan terus berjalan laju tanpa menjawab soalan.

Semalam, dilaporkan bahawa Langewiesche mendakwa polis Malaysia menyembunyikan maklumat berkaitan kehilangan MH370, khususnya butiran mengenai juruterbang pesawat berkenaan, kapten Zaharie Ahmad Shah

Penulis juga menimbulkan semula teori bahawa Zaharie membunuh semua 238 penumpang dan anak kapal sebelum sengaja menjunamkan kapal terbang itu ke laut. Tuduhan itu dinyatakan dalam laporan majalah America, The Atlantic bagi isu Julai.

Beliau juga menuduh pihak berkuasa Malaysia ketika kerajaan maka BN menyembunyikan maklumat penting untuk menutup tindakan bodoh dan ketidakcekapan mereka semasa hari-hari awal kejadian itu.

Langewiesche menyifatkan Loke sebagai "kecewa sehingga marah" pada acara bersama Grace Nathan, seorang anggota keluarga penumpang MH370, bersama pemburu kapal berkenaan Blaine Gibson dari Amerika, di mana menteri itu secara rasmi menerima lima buah serpihan baru.

"Rakyat Malaysia hanya ingin tahu keseluruhan cerita," dakwanya.

Sementara itu, bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein menyangkal dakwaan Langewiesche dengan mendakwa tuduhan itu boleh disangkal dengan mudah.

"Berita Lama oleh seseorang yang mahu mengambil kesempatan daripadanya. Kita tidak harus memberi kelebihan kepadanya.

"Tidak pasti apa motif beliau, tetapi pihak berkuasa boleh membuktikan dia salah. Anda perlu menghubungi mereka,"katanya.


Tiada ulasan: