Pelantikan KP SPRM baharu sekadar teruskan pendakwaan selektif
BANGI– “Jika Latheefa Koya yang melaungkan integriti gagal membuktikannya
kerana menerima pelantikan (Ketua Pesuruhjaya SPRM), maka apa jaminan
SPRM akan berintegriti?”
Demikian persoalan dibangkitkan bekas
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd Puad Zarkashi
berhubung pelantikan bekas pemimpin PKR sebagai Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tempoh kontrak
selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd
Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal
daripada yang sepatutnya pada 17 Mei 2020.
Aktivis liberal itu telah mengemukakan
surat peletakan jawatan sebagai ahli PKR, selepas dimaklumkan mengenai
keputusan pelantikan itu.
Puad menyifatkan peletakan jawatan
Latheefa sebagai ahli parti berkenaan sebagai lakonan semata-mata
berikutan fikrah politik kepartian sudah terpasak kuat dalam dirinya.
“Bahkan dia juga menonjol dalam politik ‘kem’ yang berantakan dalam PKR,” kata pemimpin UMNO Johor itu.
Pada masa sama, Puad turut mempersoalkan
tindakan Shukri yang memohon memendekkan kontrak beliau sebagai Ketua
Pesuruhjaya SPRM lebih awal daripada yang sepatutnya.
“Tapi nak tahu juga kenapa DS Shukri mahu
berhenti awal. Shukri kata, ‘Mission completed’? Apakah cukup setakat
Najib ditahan, diheret ke mahkamah dan dibicarakan?
“Mana dia pendakwaan atas kesalahan Najib
mencuri berbilion ringgit duit 1MDB? Kes SRC adalah kes ‘money
laundering’. Perbicaraan yang sedang berjalan sekarang hanya mampu
mendedahkan naratif politik kerajaan PH semata-mata,” katanya.
Selain itu, beliau turut mendakwa bahawa
pelantikan Latheefa sekadar meneruskan misi siasatan serta pendakwaan
‘selektif dan politik’ kerajaan PH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan