Adun PKR Dr Afif Bahardin tampil memberi maklum balas
kritikan antaranya dari Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai
Pelantikan Jawatan Utama Perkhidmatan Awam terhadap perdana menteri
mengenai pelantikan Latheefa Koya sebagai KP SPRM.
Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya berkata jawatankuasa itu sepatutnya telah memulakan langkah reformasi lebih awal dan tidak wajar mengkritik keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memilih peguam Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya baru SPRM.
Afif berkata isu sebenar dan pokok permasalahannya terletak kepada pihak yang sepatutnya membawakan reformasi mengenai bagaimana seharusnya hal-hal sebegitu dikendalikan di negara ini seelepas PRU14.
Katanya, pihak berkenaan telah "gagal dengan teruk" dalam melaksanakan tugas mereka.
Beliau memetik contoh jawatankuasa pilihan khas parlimen yang disifatkannya gagal membawakan reformasi yang diharapkan.
"Mereka tidak membawa cadangan pembaharuan kepada parlimen sejak tahun lepas. Mana reformasi itu?
"Sebab itulah ditubuhkan jawatankuasa (pilihan khas parlimen) untuk berbuat demikian," kata Afif kepada Malaysiakini.
Afif
yang juga exco Pulau Pinang selanjutnya berharap supaya pihak yang
berkenaan tidak membantutkan reformasi hanya kerana kemalasan.

"Apa batasan atau had kuasa perdana menteri berhubung pelantikan jawatan-jawatan utama?
"Tolong jangan membantutkan reformasi hanya kerana kamu malas berbuat demikian," jelasnya lagi.
Menurut Afif sekarang bukan masanya melemparkan kritikan kerana prestasi MP dan jawatankuasa pilihan khas parlimen juga boleh dipertikaikan.
"Kami telah mempersoalkan prestasi kerajaan, kabinet tetapi bagaimana pula (prestasi) MP dan jawatankuasa yang dipimpin mereka?" Soalnya.
Jelasnya lagi apabila perdana menteri membuat keputusan berlandaskan bidang kuasanya, beliau dipertikaikan tetapi MP yang diamanahkan melakukan reformasi tidak berbuat demikian.
Afif menyoal anggota jawatankuasa pilihan khas mengenai cadangan dan adakah mereka telah melobi menteri serta MP, termasuk pembangkang mengenai syor reformasi mereka.
Beliau turut menggesa pihak tertentu, terutama anggota PKR, tidak memilih-milih dalam menyuarakan kritikan.
Menurutnya lagi, pengkritik pelantikan Latheefa telah berdiam diri ketika lantikan politik serupa dibuat pada masa lalu.
Contohnya termasuk pelantikan ketua PKR Kelantan, Mohamad Suparadi Md Noor sebagai pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional)
"Mereka juga senyap semasa pelantikan Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
"Apa yang berbeza sangat dengan pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya baru SPRM?" Soal Afif lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan