Khamis, 6 Jun 2019

Jangan salahkan rakyat kalau bersikap sinis terhadap kerajaan PH – Nik Nazmi

Manzaidi Mohd Amin
Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak boleh menyalahkan pengundi jika mereka bersikap sinis atau ragu-ragu terhadap pentadbiran kerajaan yang tidak mengotakan janji.

Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, rakyat semakin jauh dengan PH berikutan beberapa isu yang timbul kebelakangan ini dan ditambah pula dengan pelantikan seorang peguam sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegas beliau, kerajaan PH harus mengambil perhatian isu itu sekiranya berhasrat mengekalkan sokongan rakyat untuk maju ke hadapan, dan lebih penting lagi memastikan mereka tidak mengulangi kesilapan yang lepas.

“Perkara ini tiada kena mengena dengan kelayakan Ketua Pesuruhjaya tersebut atau kepentingan politik beliau semasa masih dalam parti.

“Apa yang pasti, dan rakyat mempunyai hak untuk menduga adalah bahawa beliau akan menjalankan tugas dengan saksama,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook beliau, hari ini.

Nik Nazmi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan mengulas kejutan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu, Latheefa Koya adalah seorang peguam dan aktivis hak asasi manusia.

Selain daripada kes berprofil tinggi, beliau juga merupakan salah seorang peguam yang pernah mewakilinya dalam perbicaraan yang berkait dengan Akta Perhimpunan Awam dan beliau secara tidak langsung berterima kasih atas penglibatan itu.

Namun begitu, katanya, pelantikan Latheefa Koya di SPRM telah menimbulkan tanda tanya kepada persoalan yang harus ditangani dengan segera.

Kata beliau, Latheefa Koya sehingga beberapa hari lepas merupakan seorang anggota Keadilan dan penggal lalu, beliau adalah seorang Ahli Majlis Pimpinan Pusat.

“Walaupun beliau telah meletakkan jawatan daripada parti, tindakan tersebut dilakukan selepas pelantikannya.

“Oleh itu, kebimbangan terhadap ketidakadilan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, yang merupakan institusi awam yang penting dalam proses reformasi negara, tidak boleh dipandang sebelah mata.

“Apa yang penting ialah seperti yang dilaporkan oleh media, cara pelantikan beliau diputuskan oleh Perdana Menteri sendiri dan ini tidak selari dengan janji yang dibuat oleh PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum yang lepas,” katanya.

Janji ke-14 Buku Harapan jelas menyatakan bahawa di bawah kerajaan PH: “SPRM akan melapor terus kepada Parlimen, dan bukan lagi kepada Perdana Menteri.

Untuk memastikan semak imbang yang efektif, bilangan Pesuruhjaya SPRM akan ditambah dengan mewujudkan kuota untuk pertubuhan masyarakat sivil menjadi ahli SPRM.

Kata Nik Nazmi, salah seorang dari mereka akan menjadi Pengerusi SPRM, dan semua pesuruhjaya akan mempunyai jaminan pelantikan tetap.

Ujar beliau, pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.

“Benar, pindaan undang-undang belum lagi dilakukan untuk memberi ruang kepada janji ini, termasuk pengesahan Pesuruhjaya oleh Parlimen.

“Bagaimanapun, pelantikan itu sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam untuk menunjukkan bahawa kerajaan pusat PH berniat untuk mengotakan janji-janjinya.

“Namun, cara pelantikan beliau menjadi tumpuan perhatian kerana ia menimbulkan persoalan mengenai komitmen kerajaan kepada agenda reformasi.

“Kita telah dilantik atas dasar reformasi institusi dan ekonomi. Kekurangan kemajuan kita dalam kedua-dua aspek tersebut amat membimbangkan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: