Khamis, 6 Jun 2019

INKUES ADIB: KEWIBAWAAN AG DIPERSOAL


 


Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mempersoalkan kewibawaan Peguam Negara, Tommy Thomas dalam mengendalikan inkues kematian Muhammad Adib setelah wujud arahan penarikan diri peguam Syazlin Mansor dalam prosiding inkues tersebut.

Beliau berkata tindakan tersebut membuktikan wujud campur tangan Tommy dalam inkues untuk mencari punca kematian anggota bomba tersebut.

“Terus terang, kewibawaan dan integriti Peguam Negara semakin merosot. Pejabat Peguam Negara seperti tenggelam punca. Rakyat amat keliru apabila pejabat Peguam Negara mengeluarkan afidavit yang mengatakan Allahyarham Muhammad Adib tidak dipukul, walaupun proses inkues masih berlangsung.

“Andai inilah contoh ‘rule of law’ yang dicanang-canangkan, Tommy Thomas sudah menjadi liabiliti besar kepada Pejabat Peguam Negara dan kerajaan,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Justeru, beliau menegaskan Tommy wajar meletakkan jawatan berikutan dilihat gagal meletakkan keadilan pada kedudukan yang sepatutnya sekaligus mencemar keluhuran undang-undang negara.

“Ini bukan kali pertama saya mendesak Tommy Thomas meletakkan jawatan. Jika terlalu degil, usahakanlah agar Tommy Thomas ini segera dipecat.

“Rasanya beban tanggungjawab sebagai Peguam Negara ini terlalu besar untuk Tommy.

Kesetiaannya kepada Raja dan Negara – diragui. Keikhlasannya kepada keluhuran Perlembagaan – mengundang rasa was-was dan bimbang berterusan,” katanya.


Tiada ulasan: