MUKTAMAR PAS | Dalam
sajak yang dibaca ketika selingan majlis Muktamar Pemuda PAS Malaysia
ke-60 yang berlangsung hari ini, pendeklamasi memanjatkan rasa syukur
kepada Allah kerana "menapis darah-darah munafik" daripada PAS pada
2015.
Sajak berjudul Demi Islam itu dideklamasikan oleh Pencetus Ummah (PU) Merico selepas Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi selesai menyampaikan ucaptamanya.
“Tahun 2015
Allah menapis darah-darah munafik
ke sana parasit, ke sini parasit
parasit tetap parasit
menggadai agama demi kuasa bernegara.
"PRU 14 melakar sejarahnya
kemenangan yang merosak agama
hilang maruah kita di bumi kita.
hanya kerana meninggalkan agama
al-kafirun mengambil takhta kita.
"Syukur pada Yang Esa
kerana membersihkan mereka daripada kita."Untuk memberikan kesan yang lebih kepada bacaan tersebut, ketika Merico membacakan rangkap tersebut layar di kiri dan kanan pentas memaparkan beberapa gambar pemimpin PH.
Antaranya yang kelihatan menonjol ialah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; veteran DAP, Lim Kit Siang, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof; anggota parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; selain aktivis masyarakat dan bekas pengerusi Bersih, S Ambiga.
RUU355 ialah cubaan PAS - melalui presidennya Abdul Hadi Awang - meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk memberikan kuasa lebih besar kepada mahkamah syariah menjatuhkan hukuman.
Parti komponen BN - kecuali Umno - menolak usul yang dibawa Abdul Hadi ke Dewan Rakyat itu kerana menganggapnya sebagai undang-undang hudud. PAS menafikan dakwaan tersebut.
Ajak bersatu padu
Untuk rekod pengacara majlis mengumumkan wakil dari MCA turut hadir dalam muktamar hari ini bersama wakil pembangkang lain seperti Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Biarpun tidak menyebut secara langsung, "penapisan darah munafik" yang dimaksudkan Merico dipercayai merujuk kepada bekas anggota PAS yang beramai-ramai keluar parti itu selepas 2015.
Ketika Muktamar Dewan Muslimat PAS pada 15 Jun, Presiden PAS Abdul Hadi berkata tindakan pengundi menumbangkan BN pada PRU lalu adalah langkah silap kerana hanya mengundang mudarat lebih besar pada negara.
Anggota parlimen Marang itu juga menegur pengundi muda yang disifatkannya sebagai tidak mengaji kitab semasa memenangkan PH.
Di akhir sajak tersebut, Merico menyeru umat Islam agar mengikuti al-Quran dan sunah nabi dan bersatu padu:
“Demi Islam
wahai bangsaku
panji Islam di hadapanmu
ayuh bawa ia sampai menara
jadikan al-Quran perisai, sunah nabi pakaian ikutan
sahabat, bersama kita
tinggalkan cabang-cabang furu’, tiada lagi kau-aku.
demi daulat, ummah berpadu
demi negara baldatun thoyyibatun wa rabbun ghafur.”
Sajak itu kemudian ditamatkan dengan laungan takbir tiga kali yang disambut perwakilan.
N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan