Rabu, 19 Jun 2019

Awas negara boleh punah, kata PAS


   

MUKTAMAR PAS | Negara ini boleh "punah" jika budaya membiarkan sesiapa saya membuat pengakuan maksiat tanpa dibendung, kata timbalan presiden PAS. 

Menurut Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika parti itu tidak campur tangan dengan isu panas yang membayangi PH - khusunya PKR - PAS juga mengingatkan bahawa Islam mengajar umatnya agar tidak membuat tuduhan semberono.

Katanya juga Islam menetapkan seseorang yang mengaku melakukan kemungkaran wajar dihukum.
"Kalau kita biarkan budaya masing-masing isytihar 'saya buat dengan orang tu' atau 'dengan orang ni', akan punah negara kita," katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian semasa menjawab soalan wartawan selepas merasmikan persidangan tahunan Pemuda PAS di pusat peranginan Bukit Gambar Resort, dekat Kuantan hari ini.

Terdahulu anggota parlimen Kubang Kerian itu ditanya mengenai isu video seks membabitkan Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, dengan lelaki yang didakwanya Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Azmin menafikan beliau terlibat dalam klip tersebut.

Insiden itu juga dilihat membayangkan pertembungan sengit di antara dua kumpulan berbeza dalam PKR.

Tuan Ibrahim berkata jika pihak berkuasa tidak memberi perhatian kepada individu yang membuat pengakuan melakukan kemungkaran ada kemungkinan lain akan berlaku.

"Saya bimbang satu masa nanti akan muncul pula orang lain yang mengaku buat benda ni, buat benda itu. Sebab itu dalam Islam, yang mengaku mesti dihukum.

"Yang mengaku itu mesti dihukum sebab dia memang dah confirm (sahih)," katanya.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.


Tiada ulasan: