Ahad, 2 Jun 2019

Buktikan matrikulasi hanya untungkan kroni BN, Khaled cabar Pemuda DAP

Naib presiden Umno dan bekas menteri pengajian tinggi Mohamed 
Khaled Nordin. (Facebook pic)

PETALING JAYA: Bekas menteri pengajian tinggi Mohamed Khaled Nordin mencabar Pemuda DAP mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya bahawa program matrikulasi di bawah kerajaan lepas hanya menguntungkan kroni, golongan “elit, kaya dan yang mempunyai kabel”.

“Buktikan dengan data dan fakta. Jika tidak, apakah beza nilai dan status sebuah parti politik yang kononnya jujur dan progresif dengan mereka yang diupah berdemo dan memekik di jalanan tanpa sebarang fakta?,” kata Khaled dalam satu kenyataan.

Beliau memberi respons terhadap ketua Pemuda DAP, Howard Lee yang sebelum ini berkata, semasa Khaled dan Barisan Nasional (BN) berkuasa, mereka mengutamakan golongan elit dan kaya.

Lee juga berkata, orang Melayu B40 dan rakyat biasa tidak mempunyai rangkaian hubungan bagi membolehkan mereka mendapat manfaat daripada dasar yang disasarkan untuk kumpulan berpendapatan rendah.
Lee berkata demikian bagi menjawab kritikan Khaled terhadap beberapa cadangan DAP untuk meminda program matrikulasi universiti.

Khaled mendakwa DAP mahu mewujudkan kesamarataan penuh tanpa memahami falsafah di sebalik langkah kerajaan menetapkan kuota untuk pelajar Melayu dan bukan Melayu.

Dalam kenyataan hari ini, Khaled berkata, Umno dan BN sememangnya membantu golongan yang susah selama 6o tahun lepas dan tidak bersikap apologetik atau malu untuk mengaku bahawa majoritinya adalah golongan Bumiputera.

Naib presiden Umno itu berkata, golongan Bumiputera masih tertinggal di belakang dan memerlukan campur tangan kerajaan bagi membolehkan mereka maju ke hadapan setara dengan orang Cina khususnya, terutama dalam bidang pendidikan.

“Dalam konteks sebegini, kesamarataan mutlak dan merit yang diperjuangkan Pemuda DAP akan hanya terus meminggirkan mereka yang tertinggal. Manakala mereka yang sudah terkehadapan akan terus terkehadapan,” katanya.

Bulan lepas, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, kuota 90:10 yang mengutamakan pelajar Bumiputera dalam program matrikulasi akan dikekalkan, berikutan gesaan supaya kuota berasaskan kaum itu dihapuskan.

Ini mencetuskan perdebatan mengenai kursus pra-universiti anjuran kerajaan itu yang didakwa menyediakan laluan lebih mudah kepada pelajar Melayu dan Bumiputera untuk diterima masuk ke universiti.

Putrajaya mempertahankan sistem kuota tersebut dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, ia bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar Bumiputera mengikuti ijazah dalam bidang berkaitan sains.

Tiada ulasan: