Rabu, 5 Jun 2019

Beraya dalam banjir

Mohd Khidir Zakaria
 
 
 

“KAMI tak sangka, tahun ini kami beraya dalam banjir,” kata Razal Mansor, Pengerusi Majlis Pengurusan dan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Sri Penaga 2, Sikamat di Seremban.

Razal berkata, hujan lebat bermula 5.45 petang hingga 7 malam, semalam, menyebabkan 35 rumah di taman itu dilanda banjir kilat.

“Penduduk sudah membuat persiapan raya, namun semuanya musnah. Hari ini adalah hari raya tetapi kami terpaksa membersihkan kediaman masing-masing,” katanya kepada Harian Metro.

–– ADVERTISEMENT ––
Menurut Razal, akibat hujan, air dan lumpur memasuki kediaman penduduk pada paras satu meter dengan ia kejadian kedua berlaku sejak bulan lalu.

“Hari raya kami rasa tak seronok. Sekarang ini kalau hujan kami akan berasa takut,” katanya.

Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat sudah meninjau kawasan itu, semalam.


PENDUDUK Taman Sri Penaga 2, Sikamat membersihkan 
kediaman yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO Ihsan Pembaca
 
Razal mendakwa, banjir kilat itu berlaku disebabkan oleh projek pembinaan rumah di kawasan berdekatan yang sedang dijalankan.

“Menteri Besar ada menyatakan kekecewaan dengan sikap pemaju yang tidak mahu mengambil langkah menangani masalah itu. Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Menurutnya lagi, penduduk turut menerima bantuan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.


AKIBAT hujan, air dan lumpur memasuki kediaman penduduk 
aman Sri Penaga 2, Sikamat. FOTO Ihsan Pembaca
 
 

Tiada ulasan: