Ahad, 16 Jun 2019

Anwar sangkal dakwaan jadi dalang penyebaran video intim

Shuhada Abdul Kadir, Astro Awani
Anwar sangkal dakwaan jadi dalang penyebaran video intim
Anwar berkata, tidak ada sebab baginya atau penyokongnya untuk terlibat dalam perbuatan sedemikian. - Gambar fail/BERNAMA
 

PORT DICKSON: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan kononnya beliau merupakan dalang di sebalik penyebaran video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet.

Tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, tidak ada sebab baginya atau penyokongnya untuk terlibat dalam perbuatan sedemikian.

“Sudah ada fitnah, tak boleh dijawab dengan fitnah, itu satu. Kedua, apa alasan untuk kita buat kerja itu. Ada orang kata kerana ancaman, ancaman apa?

“Dia daripada satu parti dari PH (Pakatan Harapan), dan kalau kedudukan saya tu sudah ada perjanjian, PM (Perdana Menteri) sendiri bagi pengakuan secara peribadi, semua parti bagi sokongan – PKR, DAP, Amanah, Bersatu, jadi tak ada masalah bagi saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan pihak tertentu kononnya penyebaran video itu didalangi kem beliau dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk membunuh karier politik Mohamed Azmin.

Jelasnya Anwar, kesemua empat parti di bawah Pakatan Harapan (PH) bersetuju dan menyokongnya sebagai perdana menteri yang seterusnya.

Malah, tegasnya perjanjian berhubung kedudukannya itu telah lama dibuat dan tiada sebab untuknya berasa terancam dengan mana-mana individu.

Ditanya sama ada senario itu akan menggugat kepercayaan anggota dalam parti, Anwar berkata beliau percaya ia tidak akan berlaku.

Selain itu, ditanya mengenai kenyataan daripada Kumpulan Otai Reformis bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memberi tarikh tertentu bagi menyerahkan jawatan Perdana Menteri, Anwar berkata beliau tidak menyokongnya.

Jelasnya, mereka bebas untuk menyuarakan apa jua pendapat namun ia urusan Perdana Menteri dan Pakatan Harapan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Port Dickson, malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tiada ulasan: