Selasa, 18 Jun 2019

A Aida sah cerai kali keempat

Najiy Jefri
 
 
 

HANYA sembilan bulan. Itu jodoh penerbit drama Datuk A Aida, 49, dengan pelakon Ariff Aziz, 30, yang disahkan sudah bercerai pada 25 April lalu.

A Aida yang mengumumkan perceraian itu dalam sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini berkata, perceraian kali keempatnya itu berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur, Selangor.

Katanya, perpisahan adalah jalan terbaik buat dia dan Ariff selepas tiada lagi persefahaman antara mereka.

“Saya sudah memfailkan perceraian sejak 4 April lalu di bawah seksyen 47 iaitu meminta kebenaran mahkamah untuk bercerai secara baik.

“Saya anggap jodoh tak panjang. Lagipun soal ajal dan jodoh adalah rahsia Allah. Hanya Dia yang Maha Mengetahui dan saya reda dengan ketentuan ini. Siapa yang mahu bercerai-berai, tetapi tertulis jodoh saya bersama Ariff sampai di situ saja,” katanya.

Apabila ditanya mengenai punca perceraian, A Aida enggan bercerita tetapi mengakui lebih tenang dan bahagia untuk solo kembali.

“Tidak perlu saya kongsikan punca perceraian ini. Apa yang boleh saya katakan, rumah tangga kami memang ada masalah.

“Kami sudah tidak mampu lagi untuk bersama, jadi perpisahan adalah jalan terbaik. Saya juga sudah tidak tinggal sebumbung dengan Ariff sejak 21 Mac lalu,” katanya.

A Aida juga menegaskan sudah tiada keperluan untuk dia dan Ariff kembali bersama.

“Saya tidak nafikan berkahwin dalam keadaan yang agak tergesa-gesa membuatkan saya tidak sempat untuk mengenali dia secara mendalam. Saya juga tidak lihat jalan untuk kembali bersama dengannya lagi. Kami pun sudah lama tidak berhubung,” katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi bekas suami A Aida, Ariff bagi mendapatkan reaksinya tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan membalas WhatsApp.

Pasangan itu berkenalan sejak 2015 ketika menjalin kerjasama dalam beberapa projek drama terbitan A Aida Productions.

Melihat budi baik, sikap bertanggungjawab dan sempurna pegangan agama, Aida terbuka hati menerima lamaran Ariff.

Pada 4 Julai tahun lalu, Ariff membuat kejutan dengan melamar Aida di sebuah restoran Arab di ibu negara dengan memberi sebentuk cincin.

Pasangan ini bernikah pada 21 Julai tahun lalu. Tarikh itu dipilih sempena ulang tahun kelahiran Aida yang juga ibu kepada tiga cahaya mata. Ia juga perkahwinan kali keempat buat A Aida.

Tiada ulasan: