Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah mengesahkan laporan itu dibuat di Sandakan dan Kota Belud, tetapi enggan mendedahkan pihak yang memfailkan aduan berkenaan.
“Mereka ialah orang awam. Kita sudah serah laporan itu kepada Bukit Aman.
“Mereka ada sebuah pasukan khas yang menjalankan siasatan itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan, hari ini.
Semalam, Muhammad Haziq Abdul Aziz yang merupakan setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengejutkan negara dengan memuat naik satu rakaman video 30 saat ke Facebook mengaku dirinya terbabit dalam klip video seks sejenis itu dengan seorang menteri kanan.
Beliau menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam klip video seks itu yang didakwa dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu baru-baru ini.
Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya komplot jahat untuk mencemarkan reputasi, keperibadiannya dan memusnahkan kerjaya politiknya serta akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Haziq.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dipetik Bernama sebagai berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kes video seks sejenis itu.
“Tindakan akan diambil sebagaimana laporan polis dibuat bagi apa jua isu. Kita jalankan siasatan,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, polis akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes itu dan mereka yang yang mengedar video itu boleh dikenakan tindakan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan