Selasa, 18 Jun 2019

17 pelajar antara 22 ditahan berpesta liar di kondo

17 pelajar termasuk 3 pelajar perempuan dari sekolah sekitar 
Lembah Klang ditahan ketika berpesta liar di kondominium 
mewah di Jalan Sultan Ismail. (Gambar PDRM)
KUALA LUMPUR: Seramai 17 pelajar termasuk 3 pelajar perempuan dari sekolah sekitar Lembah Klang ditahan dalam serbuan aktiviti pesta liar di sebuah kondominium mewah di Jalan Sultan Ismail, awal pagi semalam.

Serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Wang Wangi pada sekitar jam 3 pagi itu turut menahan 5 individu lain.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, berkata hasil pemeriksaan di premis berkenaan, polis merampas 2 paket disyaki dadah jenis ketamin (1.8 g), 3 biji pil ekstasi (1 g), 2 pil erimin 5 (0.6 g), 1 botol lutsinar disyaki berisi air ketum seberat 1.5 l dan ganja seberat 4.3 g.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati 6 termasuk seorang wanita positif dadah” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata semua mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 22 tahun dan direman 4 hari sehingga Khamis ini.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 6, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun, katanya.

Tiada ulasan: