Ahad, 17 Mac 2019

Pertubuhan Peladang akan dirombak - Menteri pertanian

MALAYSIAKINI

   

Kepimpinan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) akan dirombak bagi memastikan pertubuhan itu berupaya menjadi ‘payung’ kepada golongan petani dan peladang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata proses penstrukturan kembali pertubuhan itu sedang berjalan sejak Nafas bebas daripada penggantungan pada 15 Januari lepas.

“Kita nak buat perubahan besar. Saya mahu Nafas dan LPP menjadi payung kepada semua peladang kita tanpa ada unsur-unsur politik yang keterlaluan, penyelewengan dan salahguna kuasa.

“Saya mahu kepimpinan PPN di peringkat kawasan dan negeri serta Nafas di peringkat kebangsaan mempunyai pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab dan mempunyai minat untuk memimpin ke satu era, di mana kita mampu memberikan apa juga pertolongan kepada petani dan peladang kita dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek ternakan ketam lembut dalam sangkar yang diusahakan oleh seorang anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sandakan di Kampung Bambangan dekat Sandakan hari ini.

Perusahaan ternakan ketam

Menurut Salahuddin, pemilihan kepimpinan peringkat kawasan berlangsung bulan ini dan di peringkat negeri akan dijalankan pada Jun, manakala November dijadualkan untuk pemilihan di peringkat kebangsaan.

“Saya meminta dukungan rakyat (Nafas, PPN dan PPK) supaya memilih mereka yang benar-benar dapat memacu kecemerlangan pertubuhan pada masa akan datang,” tambahnhya.

Pentadbiran Nafas digantung pada 1 Jun lalu selepas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mendapati masalah urus tadbir dan ketirisan yang serus dalam pertubuhan itu.

Pada lawatan itu, Salahuddin melahirkan perasaan bangga terhadap Suhaili Abdurahman, 39 yang berjaya mengembangkan perusahaan ternakan ketam sejak memulakannya pada 2013 sehingga berjaya meraih kira-kira RM7,500 sebulan daripada penjualan ketam, termasuk ikan dan kupang yang diternaknya.

“Bagi pihak kementerian, saya akan pastikan usahawan-usahawan seperti Suhaili akan mendapat bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Salahuddin turut menasihatkan jabatan berkaitan seperti Jabatan Perikanan supaya kerap turun padang dan bergaul dengan rakyat, khususnya golongan nelayan, serta memberi bimbingan dalam mencapai hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan mereka.- Bernama


Tiada ulasan: