Ahad, 31 Mac 2019

SIS terima dana timb menteri: PAS jangan guna agenda agama - MP

MALAYSIAKINI

   

Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata PAS tidak perlu menggunakan agenda agama mengenai isu berkaitan hak-hak wanita di sisi perundangan.

Beliau merujuk kenyataan MP PAS dari Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof yang mempertikaikan peruntukan RM20,000 yang diberikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh kepada NGO Sisters in Islam (SIS).

“Kenyataan Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat berhubung peruntukan itu hanya cubaan PAS untuk mendorong kerajaan ke arah agihan dana secara terpilih yang mengutamakan agama dan ideologi,” katanya.

Menjelaskan hal ini, Maria berkata sudah tiba masanya parti itu memahami kepentingan kerja-kerja kebajikan yang dijalankan NGO tersebut.

“Dana kementerian mestilah tidak berpihak parti politik. SIS menepati syarat-syarat yang ditentukan kementerian termasuklah memperbaiki kebajikan wanita.

"Sementelahan, pengurusan kewangan NGO itu memiliki (mekanisme) semak dan imbang yang menjadikannya telus dan bertanggungjawab," kata Maria lagi.

Menurut Maria, SIS memberikan klinik bantuan perundangan percuma melalui program dikenali sebagai Telenisa untuk membantu 8,400 individu dari seluruh negara termasuk Kelantan dalam soal undang-undang keluarga Islam dan kesalahan jenayah syariah, sejak 2003.

"Ini termasuklah kes-kes perceraian, poligami, penjagaan anak dan pembahagian harta.

"Tanpa pertubuhan seperti SIS, wanita yang terpinggir ini mungkin tidak berupaya menerima sokongan yang diperlukan dan akhirnya tidak terbela.

"PAS perlu sedar serangan sebegitu hanya akan menyakitkan golongan (memerlukan) yang sudah tiada arah lagi yang hendak dituju," katanya lagi.

Sekurang-kurangnya separuh daripada wanita terbabit, kata Maria cuma meraih nafkah bulanan di bawah RM2,500 dan tidak mampu menanggung bayaran yuran guaman dalam melalui proses rumit perundangan syariah dan berbeza-beza di setiap negeri.

Yeoh pada Khamis lalu memberitahu Dewan Rakyat sumbangan kepada SIS itu datangnya daripada dana beliau selaku timbalan menteri, bukan daripada kementerian.

Dana tersebut adalah sebagai menyokong usaha SIS dalam mengumpulkan data serta statistik mengenai wanita Islam selain membantu golongan tersebut, jelas Yeoh.




Tiada ulasan: