Ahad, 31 Mac 2019

Najib sokong siar perbicaraannya secara langsung


Wartawan MalaysiaGazette

xMGF12032019_PARLIMEN_60-681x454
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.



KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyokong perbicaraannya disiar secara langsung di televisyen.

Bekas perdana menteri itu berkata, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran perjalanan kesnya.

“Saya akan menyokong siaran langsung kerana ia akan membantu ketelusan dan memastikan ‘rule of law’ (pemerintahan mengikut undang-undang) dipatuhi,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook beliau hari ini.

Sebelum itu, ada NGO mendesak kerajaan membenarkan perbicaraan Najib berhubung dakwaan berkaitan kes SRC International Sdn. Bhd. pada Rabu ini disiarkan secara langsung.

Baru-baru ini Penasihat NGO-NGO Saudara Islam SeMalaysia, Shafik Abdullah mahu Mahkamah Persekutuan supaya membenarkan perbicaraan bagi kes melibatka Najib disiar secara langsung termasuk menerusi stesen televisyen tempatan.

Mahkamah Tinggi di sini pada 28 Mac lalu menetapkan 3 April ini untuk perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri tersebut.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu menangguhkan perbicaraan kesnya.

Perbicaraan kes itu pada awalnya dijadualkan bermula 12 Februari sehingga 29 Mac ini tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac lalu membenarkan permohonan penangguhan.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Tiada ulasan: