Ahad, 31 Mac 2019

Kenali calon-calon PRK Rantau

 
   
KINIGUIDE | Tahun lalu DUN Rantau sepatutnya menjadi medan pertarungan satu lawan satu antara calon BN dan PH tetapi pilihan raya kecil kali ini telah bertukar menjadi pertembungan empat penjuru pada 13 April ini.

DUN Rantau dikosongkan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding calon Umno, Mohamad Hasan sebagai tidak sah dan pemilihan semula perlu diadakan.

Ini berpunca daripada langkah pegawai SPR menghalang calon PKR Dr S Streram daripada memfailkan kertas pencalonannya ketika pilihan raya umum 2018.

Kedua-dua mereka kembali ke gelanggang hari ini, tetapi berhadapan saingan tidak terduga daripada dua calon bebas.

Berikut merupakan panduan Malaysiakini mengenai calon-calon PRK Rantau dalam pertembangan empat penjuru ini:

Mohamad Hasan

Lahir dan dibesarkan di Rantau, Mohamad mula memenangi kerusi Rantau pada tahun 2004 dan menjadi menteri besar Negeri Sembilan pada tahun yang sama.

Dikenali penduduk setempat sebagai Tok Mat, beliau berjaya mempertahankan kerusi itu sehinggalah menang tanpa bertanding pada PRU14.

Kerjaya politik pemimpin berusia 62 tahun itu bersinar pada Julai tahun lalu apabila beliau memenangi jawatan timbalan presiden Umno, sebelum mengambil alih tugas daripada Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden pada bulan Disember.

Di bawah kepimpinan beliau, jalinan kerjasama Umno dengan PAS semakin erat, yang membawa kepada kejayaan di Cameron Highlands dan pilihan raya kecil Semenyih tahun ini.
Dr S Streram

Streram sepatutnya bertanding di Rantau pada tahun lalu tetapi dihalang daripada masuk ke pusat penamaan kerana beliau tidak mempunyai pas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya.

Beliau mendapat satu lagi peluang bertanding di kerusi itu selepas petisyen pilihan rayanya berjaya di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Seorang pakar bius dengan lebih daripada tiga dekad pengalaman, Streram berkata beliau mula bekerja bersama akar umbi di Rantau sejak tiga setengah tahun lalu.

Ini akan menjadi pilihan raya pertama yang ditandingi beliau.
R Malar

Tidak banyak yang diketahui mengenai suri rumah berusia 50 tahun ini, tetapi dia memulakan kempennya dengan mengadakan protes senyap selama dua hari.

Beliau berkata ini bagi membantah BN yang didakwa tidak membenarkan calon mereka bercakap di Cameron Highlands, dan PH melakukan perkara yang sama di Semenyih.

Bagaimanapun, kedua-dua calon itu bercakap dengan media semasa kempen masing-masing.

Menurut The Star, Malar tinggal di Kanada selama 25 tahun dan sebahagian besar waktunya disana dihabiskan dengan bekerja sebagai juruhebah radio dan penerbit program.

Dia dijangka memperkenalkan manifesto beliau dalam beberapa hari akan datang.

Malar menggunakan logo pokok untuk pilihan raya ini.

Mohd Nor Yasin

Anak tempatan Gemencheh berusia 66 tahun itu pernah menjadi orang PAS dan masih mendakwa dirinya ahli parti itu.

Mohd Nor pernah bertanding kerusi parlimen Gemencheh pada tahun 2013.

Bagaimanapun, PAS mengesahkan Mohd Nor bukan lagi ahli parti mereka.

Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abd Ghani turut mengesahkan Mohd Nor sudah menyertai Amanah.

Mohd Nor berkata tujuannya bertanding untuk membawa pembangunan berasaskan Islam ke Rantau.

Dia menggunakan lambang pen sebagai logo bagi pilihan raya kecil itu.


*KINIGUIDE ini disusun oleh Zikri Kamarulzaman.


Tiada ulasan: